Memasuki hari ke-21 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah pasti ramai yang semakin rindu dengan rutin harian masing-masing.

Sama seperti rutin dan keperluan seorang wartawan yang mencari perkembangan terkini namun semua itu terbatas kini ekoran wabak Covid-19 yang seakan merampas keceriaan kita buat sementara waktu.

Jika ditanya pemain naturalisasi pertama bola sepak negara, Mohamadou Sumareh, apa yang paling dirindui ketika ini, jawapan pemain Pahang ini laju terarah kepada kemeriahan di padang latihan yag sudah menjadi rutin saban hari.

"Terlalu lama di dalam rumah membuatkan saya ternanti-nanti bilakah semua ini akan berakhir kerana saya sudah tidak sabar lagi untuk kembali menyepak bola".

Ditanya mengenai skuad kebangsaan negara, Sumareh ternyata lebih teruja apabila nama Liridon Krasniqi disebut-sebut.

"Saya sudah mendapat gandingan yang lebih baik dan Harimau Malaya ibarat mendapat suntikan yang lebih baik dengan kehadiran Krasniqi".

Kem latihan kebangsaan akan bermula pada September depan dan ia melibatkan kemunculan pertama Krasniqi bersama pasukan.

"Krasniqi kekuatan baru skuad negara sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam pada Oktober dan Thailand pada November".

Skuad kebangsaan negara bakal melewati jadual yang padat bermula aksi Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia 2022/2023 pada Oktober dan November dan bersambung ke saingan Piala AFF bermula penghujung November hingga Disember.