Cheah Liek Hou menamatkan saingan peringkat kumpulan B Sukan Paralimpik Tokyo selaku juara dengan rekod bersih, hasil kemenangan 21-19, 21-12 ke atas wakil Jepun, Taiyo Imai.

Pemain perseorangan negara bagi kategori SU5 itu bakal bertemu Fang Jen-yu dari Taiwan dalam separuh akhir.

Pemain nombor dua dunia itu cemerlang sejak permulaan saingan, mengatasi dua lawan pertama dengan mudah sebelum ini.

Bertemu Taiyo, Liek Hou tenang mendahului set pertama sebelum wakil Jepun itu kembali mengikat kedudukan 19-19.

Juara dunia SU5 enam kali itu memastikan kemenangan 21-19 sebelum mempamerkan permainan yang lebih bergaya dalam set berikutnya.

"Saya terlalu bersemangat untuk memenangi set pertama, sekaligus memberikan lawan kesempatan untuk bangkit. Sungguh gembira kerana mara ke separuh akhir, tetapi saya belum mahu memikirkan pingat. Saya perlu fokus pada separuh akhir terlebih dahulu," katanya.