Ketika rakyat Malaysia masih meraikan kejayaan Khairul Hafiz Jantan muncul lelaki terpantas Asia Tenggara menerusi pingat emas acara 100m Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, ramai yang terlepas pandang peningkatan pelari Jepun.

Mereka akan jadi penghalang utama Khairul, 19 tahun, rangkul gelaran lebih besar, lelaki terpantas benua Asia menjelang Sukan Asia Indonesia 2018 serta Kejohanan Trek dan Padang Asia 2019 di Doha, Qatar.

Yoshihide Kiryu memecah rekod 100m Jepun apabila muncul pelari pertama negara matahari terbit itu mencatat bawah 10 saat.

Dia melakukan 9.98s ketika menjuarai kejohanan bertaraf kolej!

Apa yang membimbangkan, dia baru berusia 22 tahun.



Seorang lagi pelari muda Jepun, Abd Hakim Sani Brown juga tidak kurang hebatnya.

Pada usia 18 tahun, dia berjaya menewaskan bintang Jamaica, Yohan Blake ketika saringan 100m Kejohanan Dunia 2017 dan mara hingga ke separuh akhir.

Catatan peribadi terbaik, 10.05s.

Berdasarkan catatan peribadi terbaik dikalangan mereka, Khairul yang terkenal dengan jolokan Speedy Jantan, menduduki tangga ketiga dengan 10.18s yang juga rekod kebangsaan.

Antara ketiga-tiga pelari ini, peningkatan Kiryu lebih membimbangkan kerana sejak 2013, dia sudah tujuh kali berjaya mengatasi catatan peribadi terbaik Sani Brown - malah jauh mengatasi Speedy Jantan.

Saya melihat situasi ini sama seperti yang dialami jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Dia cukup hebat di mata rakyat Malaysia dengan deretan pingat perak Sukan Olimpik, naib juara Kejohanan Dunia, podium Sukan Asia atau Piala Thomas.

Realitinya, dia tidak pernah menjuarai semua kejohanan itu kerana dilahirkan sezaman dengan bintang China, Lin Dan atau hanya dibezakan beberapa tahun berbanding Chen Long.

Peminat badminton seluruh dunia menghormatinya sebagai legenda, namun jauh di sudut hati, atlit pasti mahu merangkul kesemua gelaran itu sebelum bersara.

Chong Wei sudah melalui kepayahan itu, cabaran sama menanti Khairul.

Khabarnya dia merancang berlatih di Jepun bersama Sani Brown, bulan depan. Ia satu tindakan yang baik kerana usia mereka cuma dibezakan setahun dan pasti tahap kematangan serta fizikal hampir sama.

Semoga jurulatih, Mohd Poad Kassim mendapat ilham baru untuk memastikan Khairul menyamai taraf kedua-dua jaguh dalam pembikinan Jepun itu dan bantu lelaki terpantas Asia Tenggara catat masa bawah 10 saat.