Pakistan bukan sahaja setakat dibatalkan penyertaan dalam saingan FIH Pro League 2019, besar kemungkinan bakal menerima hukuman lebih teruk daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Ia semua berpunca daripada tindakan Pakistan baru-baru ini memohon untuk menarik diri daripada bermain tiga perlawanan awal FIH Pro League menentang Australia, Argentina dan New Zealand atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Berdasarkan laporan-laporan media negara berkenaan, Pakistan mungkin terlepas ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun disebabkan perkara tersebut.

Difahamkan, jika Pakistan gagal memberikan alasan-asalan kukuh, pasukan ranking ke-12 dunia itu boleh digantung beraksi di peringkat antarabangsa selama dua tahun atau perlu membayar denda yang besar.

Ada juga yang mendakwa Pakistan perlu membayar hampir Rs45 juta (RM1.33 juta) sebagai penalti kerana menarik diri daripada bermain tiga perlawanan FIH Pro League tersebut.

Sudahlah Persatuan Hoki Pakistan (PHF) sedang mengalami krisis kewangan ketika ini hingga terpaksa mendapatkan tajaan daripada sebuah franchise kriket untuk bertanding pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India tahun lalu.

PHF sepatutnya perlu menyediakan kewangan dana secukupnya sebelum FIH Pro League membuka tirainya dua minggu lalu kerana FIH sudah pun menolong mereka dengan memberikan ‘wildcard’ untuk beraksi dalam kejohanan penganjuran edisi pertama ini.

Keputusan untuk menarik diri daripada tiga perlawanan pertama pada saat-saat akhir menyukarkan FIH untuk mencari pasukan pengganti apatah lagi selepas Pakistan sebenarnya ditawarkan tempat untuk menggantikan India yang menarik diri sebelum ini.

Ia sekali gus menutup peluang buat pasukan-pasukan lain seperti Ireland dan Malaysia yang mungkin berminat untuk mengambil bahagian kerana FIH Pro League turut menawarkan slot kepada empat pasukan terbaik beraksi dalam pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020.