Sehingga awal pagi tadi, dua trofi menanti untuk disambar Chelsea tetapi kini kelab di barat daya London itu berkemungkinan menamatkan musim ini tanpa mana-mana daripadanya.

Lebih daripada itu, musim 2020-21 ini akan tertulis sebagai malapetaka andai kelompok empat teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai tiket ke Liga Juara-Juara, turut tercicir daripada dikendong mereka.

Tuchel, baru dalam separuh musim pertamanya bersama Chelsea selepas menggantikan Frank Lampard yang dipecat pada 25 Januari lalu, barangkali menyalahkan kekalahan dalam final Piala FA di tangan Leicester kepada nasib semata-mata.

Namun, dalam pada satu jarinya menuding kepada ketiadaan tuah, sembilan jarinya lagi menunjuk kepada dirinya sendiri di atas kesilapan pemilihan kesebelasan, formasi dan kelemahan taktikal yang kesudahannya memakan diri.

“Tidak pun berada di bangku simpanan? Ini harus satu jenaka,” ciap Leah Monroe menerusi Instagram gara-gara teman lelakinya, Tammy Abraham, tidak pun tersenarai dalam barisan 18 pemain Chelsea untuk perlawanan itu.

Tuchel tidak pun mampu menawarkan apa-apa alasan dalam sidang media selepas perlawanan melainkan menganggapnya sebagai “satu keputusan yang sukar”.

Namun, bukanlah rahsia seperti dilaporkan akhbar Daily Mail bahawa pengurus itu lebih mengutamakan rakan senegaranya, Timo Werner, sambil minit-minit permainan semakin berkurangan buat Abraham sejak peninggalan Lampard.



Anehnya, Abraham adalah penjaring terbanyak Chelsea dengan 12 gol dalam semua pertandingan, termasuk empat jaringannya yang melayakkan Chelsea ke perlawanan kemuncak Piala FA itu dan bukan menghairankan jika dia kini dikaitkan dengan perpindahan ke Aston Villa dan West Ham.

“Bagaimana mungkin anda membuat keputusan mengetepikan penjaring terbanyak anda daripada final.

“Kebetulan dia pemain sama yang menjaringkan gol untuk Chelsea layak ke final. Ia langsung tidak masuk akal kepada saya,” tambah Monroe dalam hantaran Instagramnya yang kini telah dipadamkan.

Dan sekadar menambah garam kepada luka, Werner bukan saja tidak pun bertaring dalam perlawanan itu, malah bergelut untuk menyesuaikan diri dengan pasukan sejak perpindahannya daripada RB Leipzig awal musim ini.

“Saya kecewa dengan keputusan tapi tidak marah dengan prestasi pemain. Kami hanya tidak bernasib baik kerana ada kalanya tuah diperlukan untuk menang,” kata Tuchel.

Pengurus itu membuat lima pertukaran terhadap kesebelasan yang tewas 0-1 kepada Arsenal awal pagi Khamis lalu, dengan menampilkan Marcos Alonso, Antonio Rudiger, N'Golo Kante, Hakim Ziyech dan Werner.



Rombakan besar-besaran itu turut dipersalahkan akhbar-akhbar nasional termasuk The Sun, Daily Mirror dan The Telegraph sebagai punca kekalahan Chelsea dan Tuchel wajar dipertanggungjawabkan.

“Mereka sangat jelek dan Thomas Tuchel perlu mengambil tanggungjawab terhadap ketewasan ini.

“Ya, Chelsea menjaringkan satu gol lewat yang dibatalkan VAR tapi di sebalik itu pun, ia bukanlah hari (yang baik) untuk Chelsea.

“Malah, mereka juga terlalu lengah – dengan hanya menggandakan permainan dalam 10 minit terakhir untuk cuba memenangi perlawanan. Ia seolah-olah mereka baru tersedar yang mereka sedang beraksi dalam satu final,” rumus The Sun.