Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil tindakan drastik membubarkan skuad kebangsaan berkuatkuasa 1 November depan gara-gara dua kes doping melibatkan atlet negara.

Presiden PABM, Datuk Ayob Rahmat, berkata tindakan itu terpaksa diambil walaupun mendapat tentangan daripada atlet dan jurulatih di peringkat akar umbi yang bimbang mengenai masa depan sukan itu.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Ayub berkata: "Atlet yang sudah didaftarkan keberadaannya akan meneruskan usaha mereka memungut mata kelayakan ke Sukan Komanwel.

"Ada lebih kurang tiga hingga empat atlet akan dihantar dan mereka boleh disebutkan sebagai skuad 'ad hoc' manakala satu skuad kebangsaan baru akan ditubuhkan menjelang hujung tahun ini dengan menumpukan kepada pembangunan."

Keputusan itu kelihatan sukar diterima badang negara, Aznil Bidin, kerana ia terlalu hampir dengan kejohanan kelayakan ke Sukan Komanwel hujung tahun ini.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu berkata: "Saya harap akan ada perancangan yang baru untuk atlet-atlet yang berpotensi untuk layak ke Sukan Komanwel tahun depan.

"Saya harap ia dapat dipertimbangkan kerana bagi pemilihan ke Sukan Komanwel pada hujung tahun ini, saya berharap dapat melayakkan diri untuk sekali lagi mendapatkan pingat emas," katanya.

PABM, dalam pada itu, turut mengesahkan identiti dua atlet negara yang gagal ujian doping berkenaan adalah atlet senior, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, dan atlet muda, Ikram Haikal Zuari.