Mesut Ozil. Nama yang sering meniti di bibir peminat The Gunners sejak berhijrah dari Real Madrid ke Arsenal pada 2013. Ozil merupakan salah seorang pemain tonggak sandaran Arsene Wenger yang membantu skuad itu untuk terus memberikan saingan di kelompok atasan Liga Perdana Inggeris.

Terbaru, media antarabangsa melaporkan bahawa kemungkinan besar Ozil bakal meninggalkan Stadium Emirates apabila enggan menyambung kontrak yang akan tamat penghujung musim ini.

Pemain berusia 28 tahun itu dilihat seperti sudah mula bosan berada di Arsenal apabila sering kali gagal mencapai kedudukan tertinggi dalam setiap pertandingan yang disertai. Tambahan pula musim ini Arsenal gagal merebut tempat untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain antarabangsa Jerman itu dikhabarkan mahu mencari angin baru dan khabar angin kuat mengaitkan beliau mahu bersama semula dengan bekas pengurus lamanya, Jose Mourinho. Ini pastinya menimbulkan bibit-bibit kebencian peminat The Gunners apabila sekali lagi bintang mereka berhijrah kepada musuh utama di saingan liga.

Jika Ashley Cole dan Cesc Fabregas memilih Chelsea, Gael Clichy, Bacary Sagna dan Samir Nasri memilih Manchester City, adakah Ozil akan mengikut jejak langkah Robin Van Persie yang memilih Manchester United?

Ozil turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab La Liga Barcelona, namun semuanya Dayang rasakan hanyalah satu spekulasi liar sahaja memandangkan The Catalan sedang dalam isu politik Catalonia.

Bekas legenda Arsenal, Martin Keown turut mengkritik Ozil apabila dilihat tidak memberikan sepenuh hati apabila menyarung jersi The Gunners. Keown merasakan bahawa hanya jasad Ozil sahaja berada di Emirates, namun hatinya telah melencong ke tempat lain.

Dayang bukanlah peminat The Gunners, namun gosip perpindahan Mesut Ozil menarik minat Dayang. Apatah lagi Ozil merupakan antara pemain yang mempunyai gaya dan stail tersendiri. Ozil juga menarik minat Dayang apabila mengatakan bahawa dia lebih gemar memberikan bantuan gol kepada rakan berbanding menjaringkan gol.