Lee Chong Wei, Lin Dan dan Chen Long kecundang awal dalam Terbuka Indonesia 2017.

Selain itu, nama-nama besar yang lain juga mengalami nasib yang sama adalah Victor Axelson, Shi Yuqi dan Jan O Jorgenson.

Kesemuanya di ranking 10 terbaik di dunia dan kegagalan di Pusat Konvensyen Jakarta bukanlah satu kebetulan tetapi strategi bagi mempersiapkan diri untuk kejohanan yang lebih gemilang iaitu Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland, dari 21 hingga 27 Ogos 2017.

Para pemain terbaik dunia sedang melalui proses latihan intensif, pada masa yang sama seperti yang tertakluk kepada peraturan Persekutuan Badminton Dunia -- Seksyen 10 D -- pemain 10 terbaik dunia diwajibkan beraksi dalam kesemua kejohanan siri super premier.

Bagi pemain nombor ketiga dunia, Chong Wei akur lawannya dalam pusingan kedua, H.S. Prannoy, dari India yang beraksi cemerlang dengan pukulan pantas dan berjaya mempertahankan segala serangannya, sekaligus menggagalkan misi merangkul kejuaraan ketujuh di negara rakan karibnya, Taufik Hidayat.

Chong Wei memastikan kepada para peminatnya tiada apa yang perlu dirisaukan.

Dalam misi mempersiapkan diri bagi peluang menjadi juara dunia buat kali pertama, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei, sedang melalui program latihan intensif di mana fokusnya lebih kepada menggunakan tenaga 100 peratus dalam latihan daripada memberi tumpuan kepada kejohanan.

Jelas strategi yang sama digunakan oleh pemain ternama lain yang menggunakan kejohanan sebelum Kejohanan Dunia sebagai medan latihan.

Jurulatih dan pasukan sokongan Chong Wei memastikan program latihan ‘Periodization’ itu diikuti sepenuhnya tanpa perlu bimbang dengan keputusan jangka pendek, tetapi lebih tertumpu kepada keputusan dalam Kejohanan Dunia nanti.

Dikecewakan empat kali di final, dua kali oleh Lin Dan dan bakinya oleh Chen Long, Chong Wei pada usia 34 tahun bertekad untuk melakar sejarah jika mara ke final buat kali kelima nanti.