Daripada asalnya sekadar isu di peringkat kelab, ia kini telah menular ke peringkat negara.

Menyusuli keinginan Lionel Messi untuk meninggalkan Barcelona, Presiden Argentina, Alberto Fernandez, turut serta merayu agar pemain itu menghabiskan kariernya di tanah tumpah darahnya.

Presiden Fernandez tidak berselindung dalam rayuannya: “Anda berada dalam hati kami semua, namun kami tidak pernah dapat menyaksikan anda beraksi di tanah air sendiri.

“Berilah kami kesempatan itu dengan anda menghabiskan karier di Newel’s Old Boys, yang juga kelab anda,” tambahnya seperti dipetik akhbar harian sukan Sepanyol, MARCA.

Rayuan itu, bagaimanapun, mungkin sudah terlambat.

Menurut satu saluran televisyen Brazil, Esporte Interativo, Manchester City sudah pun melantik sebuah syarikat penerbitan untuk menghasilkan satu video khas bagi mengalu-alukan kedatangan
Messi ke kelab naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Laporan korespondennya di Catalonia, Marcelo Bechler, menyebut City menugaskan syarikat itu mendapatkan rakaman membabitkan Messi daripada arkib sebagai persediaan andai usahanya
memancing pemain itu berhasil dalam minggu-minggu mendatang.

Di sebalik rundingan yang masih berjalan, ditambah dengan masalah birokrasi berkaitan penamatan kontrak Messi bersama Barcelona (yang menuntut penebusan klausa pelepasan bernilai €700 juta), Messi dikatakan sudah diberikan nilai dan butir-butir kontrak yang ditawarkan City.

Sebuah lagi akhbar Sepanyol, Sport, melaporkan pemain itu akan menandatangani untuk lima musim sehingga 30 Jun 2025.

Tempoh itu dikatakan akan dibahagi-bahagikan di antara tiga tahun pertama bermain untuk City di samping dua tahun terakhir di kelab kembarnya, New York City, dalam liga Amerika Syarikat.
Sport menambah Messi akan meraih gaji keseluruhan berjumlah €750 juta -- €100 juta setahun bersama City, ditambah €250 juta yang akan dibayar New York City sebagai bonus menandatangani
persetujuan menyertai kelab itu.

Pemecahan tempoh sedemikian dikhabarkan dapat mengelak risiko pelanggaran peraturan Fair Play Kewangan (FFP).




Namun, pada ketika ini, kebuntuan pemain itu dengan Barcelona masih berlanjutan tanpa ada pihak yang mahu mengalah kerana masing-masing berasa mereka berada di pihak yang betul berkaitan
tafsiran kontrak.

Dilaporkan juga Messi enggan meninggalkan Barcelona menerusi ‘pintu belakang’ kerana mahu memelihara hubungan baik 20 tahunnya bersama kelab berkenaan.

Pemenang Ballon d'Or itu berkeras dia tidak lagi memiliki kontrak dengan Barca, yang menjadikan statusnya sebagai ejen bebas. Lantas, dia boleh angkat kaki ketika ini tanpa kelab barunya perlu membayar klausa pelepasan.

Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, setakat ini enggan mengadakan sebarang rundingan dengan pihak Messi sambil berpegang bahawa klausa pelepasannya masih tetap berjalan hingga kontraknya berakhir pada musim panas tahun depan.




Ia menjurus kepada kemungkinan pertikaian itu hanya akan diputuskan mahkamah berbanding di kamar rundingan.

Barangkali ada baiknya City menggaji peguam terbaik daripada menugaskan sebuah syarikat penerbitan ketika ini.