Kejayaan pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkiffli, mencatatkan rekod baharu kebangsaan 100 meter 11.45 saat, 0.05 saat lebih pantas daripada rekod lama milik G. Shanti amat membanggakan.

Ia pasti mengubat kekecewaan Husniah selepas catatan terdahulunya, 11.36 saat, tidak dikira sebagai rekod atas sebab tiupan angin melebihi had yang dibenarkan.

Catatan 11.45 saat itu kini mengangkat Husniah selaku ratu pecut negara yang baharu dan ia memberi harapan bahawa Malaysia kini selepas 24 tahun akhirnya memiliki pelari pecut yang mampu untuk meletakkan kembali olahraga wanita negara di tahap yang sepatutnya.

Pasti kejayaan ini menjadikan Husniah tumpuan peminat olahraga tempatan dan cabaran paling besar buat pelari berasal dari Kuala Nerang, Kedah ini ialah cuba memahkotakan diri selaku ratu pecut Sukan SEA di Kuala Lumpur, Ogos ini.

Namun, sebelum waktu itu tiba, buat masa ini Husniah sekurang-kurangnya menjadi ‘obor’ yang kembali menerangi kegelapan olahraga terutama sekali acara wanita.

Selepas Shanti bersara, disusuli nama-nama besar seperti Noraseela Khalid, Roslinda Samsu, Yuan Yu Fang, olahraga wanita ketandusan atlet yang berwibawa.

Sehingga ini, Malaysia masih mencari-cari pengganti pelari jarak jauh P.Jayanthi, pelari 400 meter M.Manimagaley, serta pengganti dalam acara rejam lembing (Norsham Yon) serta acara-acara lain lagi.

Hingga kini masih belum ada pelari wanita berbakat yang dapat menamatkan kemarau berpanjangan dalam acara-acara itu.

Sudah terlalu lama olahraga wanita ketinggalan dan lilin yang menyinar suatu ketika dahulu makin hari makin kecil dan tunggu untuk terpadam.

Apakah kemunculan Husniah ini akan menyemarakkan semula ‘api olahraga wanita yang hampir terpadam? Harap-harap begitu. Diharapkan juga bukan secara sekadar acara pecut wanita akan kembali gemilang tetapi acara-acara lain juga.