Sebelum ini, penulis pernah menonton beberapa filem antarabangsa membabitkan bola sepak dan yang paling menarik pada penulis ialah filem seperti Goal (2005) dan Escape To Victory (1981).

Belum pernah ada filem bola sepak tempatan yang mendapat sambutan memberangsangkan sehinggalah kemunculan Ola Bola tahun ini.

Filem yang mengisahkan kejayaan skuad negara mara ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, bukan sekadar mengenai bola sepak tetapi ia turut memaparkan semangat perpaduan, kesukaran dan cabaran yang dihadapi pemain pada zaman itu.

Filem arahan Chiu Keng Guan ini turut menjelmakan watak utama yang berteraskan beberapa legenda bola sepak negara.

Watak 'Tauke' lakonan pelakon baru, JC Chee tampak mengimbas kembali kelibat Datuk Soh Chin Aun selaku kapten skuad negara serta sifat kepimpinan tingginya ketika memimpin barisan negara ketika itu.

Beberapa legenda bola sepak negara lain turut dipaparkan dan dilakonkan dengan berkesan walaupun dalam filem ini, nama sebenar mereka tidak digunakan.

Filem ini turut memaparkan semangat profesional pemain negara ketika itu, walaupun pada era hujung 70an, bola sepak negara masih di tahap amatur dan pemain tempatan ketika itu tidak meraih pendapatan lumayan seperti hari ini.

Dalam filem ini juga, ia memaparkan pemain berbilang kaum dalam skuad kebangsaan dan bagaimana mereka mengetepikan perbezaan fahaman serta pendapat demi kejayaan barisan negara.

Watak pengulas sukan, Rahman lakonan Bront Palarae turut berkesan pada pengamatan penulis kerana ia menceritakan bagaimana seorang pengulas muda ketika itu mula mencipta nama dan cara ulasan bola sepak dilakukan pada zaman tesebut.

Kemunculan istimewa Chin Aun bersama pengulas sukan legenda negara, Datuk Rahim Razali dalam filem ini turut menambah kekuatan jalan ceritanya.

Slogan Ola Bola, "You Will Believe" (Anda Akan Percaya) juga tepat kerana ia membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai dalam sukan bola sepak.

Penulis berharap, barisan pemain kebangsaan kini juga akan menonton filem ini kerana penulis percaya ia mampu memberi kesan positif buat mereka apabila membarisi pasukan negara di pentas antarabangsa.