Ia sepatutnya menjadi satu detik yang cukup bersejarah buat Malaysia, emas pertama Sukan SEA KL 2017 hadir melalui skuad chinlone negara yang beraksi dalam acara linking.

Bersejarah bukan sahaja kerana ia emas pertama kontinjen Malaysia secara keseluruhan, ia juga emas pertama skuad chinlone sejak mula menyertainya dalam Sukan SEA Myanmar 2013. Membuatkan ia lebih bermakna, catatan 391 mata adalah jauh lebih bagus ketika mereka mendapat gangsa di Sukan SEA Singapura 2015, apabila hanya mencatat 208 mata.

Seakan satu penyakit yang sukar dibendung melekat dalam diri segelintir rakyat Malaysia, saya kurang pasti adakah ia berkaitan dengan masalah psikologi dihadapi kelompok individu sebegitu, ataupun hobi utama dilakukan ketika waktu senggang, tetapi mereka terus memberi komen negatif sejurus barisan atlit chinlone Malaysia dikalungkan emas di leher.

Memang secara hakikinya Chinlone bukanlah sukan bertaraf dunia, dipertandingkan di peringkat Olimpik ataupun setaraf dengannya, mempunyai liga kompetitif yang dibarisi ramai pemain bintang dengan harga perpindahan jutaan pound sterling, tapi atas dasar patriotik dan mendukung misi nasional untuk menjadi juara keseluruhan Sukan SEA kali ini, tidak bolehkah kita cuba bergembira seketika dan bersama-sama menikmati saat ini buat barisan atlit negara? Mengapa perlu menjadi sang pesimis memberikan komen yang tidak bawa sebarang manfaat? Arghh !

Bayangkan anda bangun awal pagi setiap hari dikerah berlatih 3 hingga 4 jam satu sesi, rehat kemudiannya sambung kembali pada waktu petang untuk durasi waktu latihan yang sama, ulang semua itu untuk tempoh lebih daripada 2 tahun, dengan niat mahu mengharumkan nama negara menghadiahkan emas, tetapi bila sudah dikecapi, pencapaian itu tidak dihargai malah dipandang lekeh oleh “peminat” hanya kerana tidak memahami nilai estetika tersemat dalam sukan chinlone.

Emas tetap emas, tidak kira ia hadir menerusi acara apa sekalipun, kerana kita serius mahukan gelaran juara keseluruhan selepas kali terakhir adalah 16 tahun lalu ketika edisi Sukan SEA 2001. 111 adalah angka yang menjadi penanda aras kejayaan Malaysia untuk edisi kali ini, dan 1 sudah pun dijulang, hanya mengejar lagi 110 untuk merealisasikan misi penting tahun ini.

Untuk kesekian kalinya, barisan atlit kebangsaan tidak inginkan sanjungan melampau, apatah lagi peminat fanatik sehingga akaun instagram mencecah jutaan pengikut, cukuplah menghargai segala pengorbanan yang dilakukan dalam memastikan bendera Jalur Gemilang berkibar di pentas dunia.