Tumpuan bola sepak England sering terarah kepada Manchester United atau Arsenal yang bergelut mengekalkan rentak di atas padang tetapi dalam masa sama, Chelsea juga merupakan antara pasukan yang mengalami masalah untuk tampil konsisten sepanjang musim.

Walaupun memulakan saingan Liga Perdana Inggeris dengan persembahan meyakinkan Ogos lalu, anak buah Maurizio Sarri itu yang terkenal dengan konsep permainan 'Sarriball' hasil nukilan pengendali dari Itali itu tampak mula goyah sebelum memasuki tahun baru.



Tewas 1-0 di tangan Leicester City pada 22 Disember lalu, The Blues hanya mampu mengutip lima gol dalam empat aksi seterusnya bagi semua kejohanan sebelum sekali lagi kalah 1-0 di tangan Tottenham Hotspur dalam aksi pertama separuh akhir Piala Liga, awal pagi semalam.

Antara faktor yang mencetuskan kepayahan dalam kem Chelsea adalah ketumpulan barisan penyerang yang dianggotai Alvaro Morata dan Olivier Giroud.

Namun, aspek lain yang dilihat membawa kepada kesukaran untuk The Blues tampil konsisten sepanjang musim ini adalah disebabkan 'rasa cinta' Sarri terhadap pemain tengah, Jorginho.



Tiba di Stamford Bridge musim panas lalu menerusi perpindahan bernilai GBP57 juta (RM298 juta) daripada Napoli, pemain tengah Itali itu pantas menjadi pilihan utama Sarri selepas sama-sama menjadi pujaan di kota Naples sebelum ini dan dia terus mengetepikan kepentingan pemain terbaik Liga Perdana Inggeris musim 2016/17, N'Golo Kante, dalam kesebelasan utama The Blues.

Namun, penyokong Chelsea tampak sudah hilang sabar dengan pemain berusia 27 tahun itu. Persoalannya, mengapa sedangkan Jorginho mengungguli senarai hantaran paling tepat dalam liga?



Selaku pemain tengah, Jorginho semestinya memegang watak utama dalam memastikan lawan tidak mudah memecah masuk ke benteng pasukan serta bertanggungjawab untuk menyediakan hantaran yang membawa kepada jaringan.

Namun, selepas tampil sebanyak 22 kali buat The Blues, dia hanya mencipta satu jaringan tanpa sebarang gol walaupun mencatat 1,896 hantaran dan buat seorang pemain tengah semulajadi, itu tidak patut berlaku melainkan dia mengisi posisi tengah bertahan.

Justeru, meskipun Jorginho dilihat lebih memahami 'Sarriball', Sarri mungkin perlu mula mengutamakan Kante dalam kesebelasan utama seperti apa yang dilakukan Antonio Conte dua musim lalu sehingga bergelar juara liga.



Sarri seharusnya mula memikirkan kepentingan keputusan perlawanan berbanding pemahaman dalam falsafah permainannya dan tidak bergantung kepada Jorginho semata-mata kerana ribuan hantaran tidak menjamin jaringan jika ia tidak dilangsungkan secara menyerang.

Ya, mungkin ribuan hantaran yang dicatat Jorginho tanpa menghasilkan gol boleh dikaitkan dengan perumpamaan kopi tanpa gula. Ia tidak lengkap!