Aduhai PKP! Kerananya sesi menonton Euro 2020 kali ini tidak dapat diraikan seperti kebiasaan, di restoren dan warung mamak beroperasi 24 jam yang sering jadi lokasi tumpuan sebelum ini.

Cemburunya melihat lebih 67,000 penyokong menjadi saksi Portugal menewaskan Hungary 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Puskas Arena, Budapest.

Cemburu untuk berkunjung ke stadium yang sama sekali dilarang dek penularan Covid-19 di negara ini hanya sedikit terubat dibantu kemajuan teknologi televisyen yang membawa kemeriahan yang jaraknya 9,199 kilometer begitu dekat dirasai di kediaman saya.

Namun semua itu tidak langsung menghakis obses saya dengan figura yang memiliki aura luar biasa bernama Cristiano Ronaldo.

Antara yang pernah saya tampal di meja belajar ketika meningkat remaja adalah poster CR7 menyarung jersi Manchester United tetapi peliknya, saya lebih tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang pasukan kebangsaan Portugal.

Secara rasminya saya jadi penyokong skuad Selecao pada Euro 2004 yang menyaksikan Ronaldo membuat debut di pentas besar pada usia 18 tahun ketika Portugal juga bertindak sebagai tuan rumah.

Portugal juga punya nilai sentimental buat saya dan suami yang jadi lebih akrab ketika menyokong pasukan sama pada Euro 2008 tatkala rakan-rakan lain lebih senang dengan barisan pencabar miliki reputasi lebih gah seperti Sepanyol.

Namun tiada lebih manis untuk dikenang berbanding aksi final Euro 2016 - bukan sahaja kerana Portugal muncul juara menewaskan Perancis yang dianggap pasukan pilihan, tetapi beberapa jam selepas itu, saya dan suami berjaya 'naik pangkat'.

Kami menonton perlawanan itu di Hospital Putrajaya!

Ya, tiada siaran sukan di hospital tetapi Astro-On-The-Go membolehkan kami tidak terlepas sebarang momen seperti ketika Ronaldo terpaksa dikeluarkan tatkala perlawanan baru 25 minit berlangsung, mahupun ketika gol tunggal perlawanan dihadiahkan Eder pada masa tambahan.

Kerana terlalu gembira, saya bukan sahaja terlupa rasa cemburu tidak dapat menyertai perjumpaan geng Euro malam itu, bahkan hampir sahaja saya menyarung jersi Portugal dan bukannya persalinan wajib hospital ketika mahu dibawa ke bilik bersalin.

Mestilah saya jadi mangsa usikan jururawat yang bertugas, tidak kurang juga doktor yang menyambut kelahiran cahaya mata kami "Nasib baik perempuan, kalau lelaki mesti namanya Ronaldo."

Kini, selepas hampir 5 tahun, keadaannya mungkin sudah berbeza tetapi keghairahan yang ada tetap sama.

Ronaldo pastinya akan dirindui selepas edisi 2020, tetapi Portugal akan terus mendapat tempat istimewa dalam hati saya.