“Kalau Kelantan jatuh hingga ke M3, hilanglah seri Liga M,” itu antara kata-kata pemilik baru Kelantan FC, Norizam Tukiman ketika menjadi tetamu rancangan Bola@Mamak yang disiarkan di saluran 801, Astro Arena pada Isnin.

Penulis berpeluang mengenali lebih dekat usahawan kelahiran Johor ini ketika turut terbabit selaku penerbit bersama Bola@Mamak yang dihoskan Hafizal Hamad.

Orangnya peramah, mudah didekati dan sebagai seorang ahli perniagaan dan usahawan, dia berani mengambil risiko.

Dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyahut saranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mewajibkan setiap pasukan Persatuan Bola Sepak (FA) menjadi FC sepenuhnya pada hujung bulan ini, Norizam tampil menjadi menjadi individu pertama mengambil alih sebuah pasukan Liga M.

Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pelaburan saham, Norizam tampak turut mempunyai perancangan perniagaan dalam mentadbir Kelantan FC.

Matlamat utamanya adalah untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan dan pada masa sama, menjadikan 'The Red Warriors' sebagai pencabar utama kelab dari negeri asalnya, Johor Darul Takzim (JDT) sebagai kuasa dominan bola sepak tempatan.

Bagi penulis biarpun Norizam tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan pasukan bola sepak, dia sudah membuat kajian mendalam mengenainya.

Dia tidak terburu-buru mahu membina stadium baru buat skuad Kelantan FC, sebaliknya tumpuan awalnya adalah untuk memastikan pasukan itu mempunyai pusat latihan tetap dengan prasarana yang lengkap.

Norizam juga dalam proses untuk melangsaikan segala hutang Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum ini termasuk gaji tertunggak bekas pemain yang dilaporkan kepada badan dunia, FIFA.

Penulis amat mengalu-alukan ahli perniagaan atau usahawan tempatan seperti Norizam untuk melabur dalam bola sepak tempatan.

Usahawan seperti Norizam jelas mempunyai pendekatan pengurusan berbeza berbanding tokoh politik yang mengurus sebuah pasukan negeri seperti sebelum ini.

Sebagai seorang ahli perniagaan, sudah pasti dia mahu melihat pulangan pelaburannya dan pada masa sama, mewujudkan situasi menang-menang buat semua pemegang taruh bola sepak Kelantan termasuk peminat setia mereka.

Hanya sebagai orang baru dalam bola sepak, penulis berharap Norizam akan kerap juga merujuk kepada FAM dan AFC dalam memastikan segala pendekatanmya dalam memperkasakan kembali bola sepak Kelantan mengikut saluran yang tepat.

Tidak salah juga jika Norizam mendapatkan nasihat daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam mendalami selok-belok membentuk bukan saja pasukan ampuh, tetapi pengurusan kelab yang efektif dan berkesan.

Setakat ini Norizam tampak sebagai seorang ahli perniagaan yang telus melakukan pelaburan dalam bola sepak tempatan.

Penulis optimis dia bukan jelmaan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Ahmad Amizal Shafiti yang memcetuskan sesasi seketika pada 2019 dengan pengambilan ramai pemain tempatan yang mempunyai nama besar.

Tetapi akhirnya, pentadbir Liga M, MFL membatalkan penyertaan Perlis pada musim tersebut selepas didapati pengurusan pasukan itu yang diterajui Ahmad Amizal tidak mempunyai kewangan kukuh untuk menyertai Liga M.