Atlet para Malaysia menunjukkan di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

90 pingat emas, 85 pingat perak dan 84 pingat gangsa merupakan pencapaian cemerlang yang dicatat oleh kontinjen negara selepas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 melabuhkan tirainya pada 23 September.

323 wira dan wirawati negara ialah individu istimewa.

Ditakdirkan untuk melalui rintangan sebagai orang kurang upaya tidak dijadikan alasan untuk teruskan kehidupan dengan perspektif positif dan mengharumkan nama negara.

Mereka mengingatkan kita terutamanya individu normal bahawa jika kita tidak mampu mengawal apa yang telah berlaku, tetapi kita masih berpeluang menentukan apa kita mahu pada keesokkan hari dan masa akan datang.

Terima kasih atlet para negara kerana setiap usaha dan titisan air peluh di gelanggang atau padang memberi inspirasi kepada anak-anak kecil mahupun masyrakat bahawa keazaman, kekuatan, kerja keras, bersikap positif, keyakinan dan paling penting jangan pandang ke belakang merupakan resepi penting untuk kejayaan hidup dalam apa-apa situasi mahupun kerjaya.

Antara atlet para yang cemerlang ialah Mohd Najib Turano yang menyumbang 4 pingat emas bagi membantu sukan berbasikal merangkul 22 pingat emas keseluruhan.

Malaysia di tangga kedua selepas Indonesia dalam pungutan pingat keseluruhan juga menyaksikan munculnya atlet muda yang dijangka boleh menyumbang pingat emas di sukan paralimpik nanti antaranya atlet 17 tahun berbasikal Muhammad Adi Raimie Amizazahan dan atlet renang Anas Zul Amirul Sidi, selain pemenang 2 pingat emas olahraga Eddy Bernard yang hanya berusia 16 tahun.

Masa hadapan sukan para negara cukup positif.

Apapun, tahniah para atlet negara kerana menghadiahkan 145 pingat emas Sukan SEA dan 90 pingat emas Sukan Para ASEAN pada tahun kemerdekaan ke 60 negara.

Tiada lagi alasan untuk terus berjaya dan menunjukkan bahawa atlet negara akan sentiasa disegani dan dihormati oleh masyarakat dunia.

Jumpa lagi dan ‘Mabuhay’ Filipina 2019!