Berbicara tentang badminton tempatan, tiada siapa dapat menyangkal bahawa Datuk Lee Chong Wei merupakan pemain nombor satu negara. Dia merupakan yang terulung dan tiada galang gantinya.

Bagaimana pula gelaran nombor dua Malaysia? Di sinilah peranan Kejohanan Badminton Kebangsaan dalam mencari siapa pemain yang terbaik dalam negara.

Semua pemain elit, khususnya barisan perseorangan lelaki, mahu mengecap gelaran ini kerana secara realistik, mereka juga sedar sukar untuk menyaingi kredibiliti Chong Wei.

Kecundangnya juara dua tahun berturut-turut, Lim Chi Wing, dalam pusingan awal membuka peluang kepada rakan sepelatih yang lain dalam kem kebangsaan.

Untuk Chi Wing, prestasinya semakin menurun dari semasa ke semasa. Sesuatu perlu dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membantu memulihkan semangatnya andai tidak mahu melihat pemain ini terus hanyut dengan kegagalan.

Berbalik kepada Kejohanan Kebangsaan, pemain meningkat naik, Lee Zii Jia, yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, dilihat berpeluang untuk merampas gelaran itu dan memenangi buat julung kalinya.

Namun, tanpa disangka, dia tewas di pentas akhir kepada seniornya sendiri, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 21-19, 21-16. Untuk rekod, ini merupakan kejuaraan kebangsaannya yang kedua selepas memenanginya pada 2015.

Ia gelaran yang cukup penting buat Iskandar tatkala ramai mula mempersoalkan kemampuannya dalam skuad kebangsaan.

Untuk tahun 2018, persembahan Iskandar yang paling diingati adalah ketika beraksi dalam Terbuka India, Februari lalu, apabila menumbangkan satu demi satu jagoan tempatan seperti Srikanth Kidambi dan Sameer Verma, sebelum dia berhempas-pulas melompat ke setiap inci gelanggang dalam pertemuan separuh akhir menentang pemain China, Shi Yuqi.

Perjalanan Iskandar berakhir di tangan pemain itu dengan keputusan 21-18, 10-21, 19-21, namun apa yang menjadi buah mulut peminat adalah kesungguhan dan semangat juang tinggi yang ditampilkan Iskandar.

Bergelar juara kebangsaan, ia bukan sahaja memberikan keyakinan terhadap diri Iskandar, namun menjadi modal untuk mentornya, Datuk Misbun Sidek, mempertahankan kedudukannya dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Iskandar Zulkarnain, pemain yang pernah berada di ranking ke-103 dunia pada Januari lalu, kini sedikit demi sedikit mendaki untuk meletakkan dirinya di tangga ke-52 dunia.

Teruskan Iskandar, anda kini bergelar pemain nombor dua Malaysia!