Juventus yang bertandang ke Dynamo Kiev untuk aksi Liga Juara Juara Eropah tidak berdepan masalah mengutip tiga mata apabila menundukkan tuan rumah dengan jaringan 0-2. Biarpun skuad bimbingan Andrea Pirlo terpaksa melupakan khidmat ayam tambatan, Cristiano Ronaldo yang positif covid-19 dan bukan itu sahaja, malah kidmat Alex Sandro dan Matthijs de Ligt turut terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Namun, penyerang antarabangsa Sepanyol, Alvaro Morata cemerlang meledakkan dua gol yang sekali gus meletakkan Juventus berkongsi mata di Kumpulan G dengan Barcelona yang menang besar ke atas lawan dari Hungary, Ferencvaros 5-1. Ini merupakan permulaan baik buat Pirlo selaku jurulatih di peringkat eropah, selepas bermula kurang memberangsangkan di Serie A dengan hanya dua kemenangan dari empat perlawanan.





Berlainan pula ceritanya di Stade de France, apabila pengurus yang sebelum ini dijangka akan dipecat pihak pengurusan Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berjaya menterbalikkan keadaan menjadi sebaliknya apabila rentak kemenangan yang diraih berdepan Newcastle United minggu lalu berjaya dikekalkan di Stade de France.

Siapa menyangka tanpa pemain yang tidak pernah terlepas sebarang perlawanan sejak menyertai United, Harry Maguire yang dikhabarkan mengalami kecederaan, OGS berani mempertaruhkan gandingan Axel Tuanzebe dan Victor Lindelof yang ternyata berjaya mengekang pergerakan Neymar dan Kylian Mbappe.




Benteng akhir yang dikawal pemain terbaik perlawanan, David De Gea hanya bolos satu gol, itu pun hasil tandukan cantik yang tidak disengajakan oleh Anthony Martial. Pemain sandaran The Red Devils, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford masing-masing meledakkan satu gol untuk mengembalikan ‘dejavu’ seperti yang dilalui pada Liga Juara Juara Eropah 2018.

Nampaknya OGS terus melebarkan rekod kemenangan United ke atas PSG di kota Paris, yang secara tidak langsung mengembalikan keyakinan para peminat setia The Red Devils.

Harus diingat United mempunyai lima lagi baki perlawanan dengan pasukan besar seperti Chelsea, RB Liepzig, Arsenal, Everton dan satu lagi pasukan dari Turki. Jadi kemenangan dalam perlawanan besar ke atas PSG ini harus menjadi tonik terbaik untuk para pemain United mengharungi saingan mendatang.