Hello Datuk Nicol David, saya terkejut anda mengumumkan persaraan dari dunia skuasy.

Ingatkan Nicol akan bersara dalam setahun dua tahun lagi tetapi lebih awal nampaknya dan Jun 2019 akan menjadi bulan terakhir anda sebagai pemain skuasy profesional Malaysia.

Pasti keputusan untuk bersara merupakan sesuatu yang paling sukar dalam hidup Nicol.

Saya faham… Malaysia faham…

Sebagai rakan karib dan bekas rakan sepasukan, saya masih ingat bagaimana kita berdua mula berpangkalan di Amsterdam 18 tahun lalu dibawah bimbingan Liz Irving.

Cukup jauh daripada keluarga di Malaysia demi memasang impian menjadi yang terbaik di dunia.

Kita jaga sesama sendiri dan boleh saya heboh-hebohkan masakan saya yang membuat anda kuat dan menakluki dunia skuasy.

Anda juga pernah berkongsi selepas berhenti nanti, banyak perancangan yang ingin ditunaikan terutama untuk menggalak lebih ramai kanak-kanak perempuan melibatkan diri dalam sukan.

Di mana ada permulaan, pasti ada pengakhirannya.

Menjadi saksi seorang anak kecil berusia 7 tahun dari Pulau Pinang yang begitu lincah seperti ‘Duracell Bunny’ dalam gelanggang sehinggalah mencipta sejarah dunia berada di kedudukan nombor 1 skuasy dunia paling lama selama 9 tahun, serta merangkul 8 kejuaraan dunia dan banyak lagi pencapaian, membuatkan saya seorang individu yang paling bernasib baik.

Skuasy menjadi karier anda selama 20 tahun dan meletakkan Malaysia di peta dunia, jadi di usia 35 tahun sudah sampai masanya Nicol berehat dan melakukan sesuatu yang baru.

Mungkin bermain gelongsor di padang? Lompat ‘Zero two thousand’ bersama adik kecil di taman? Pergi ke panggung wayang bersama rakan karib?

Sesuatu yang anda, saya dan kebanyakan atlet elit terlepas, demi sukan dan negara tercinta.

Dalam temuramah eksklusif di Astro Arena, anda berkongsi dengan saya dan Akbar Sahari, “I just want to be a human again”.

Ya Nicol, pergi… Pergilah buat sesuatu yang membuat anda gembira kerana anda betul-betul berhak menikmatinya.

Ingin saya ingatkan kehidupan selepas sukan cukup mencabar tetapi individu istimewa seperti anda pasti dapat melaluinya dengan cemerlang.

Terima kasih Nicol di atas segala memori terbaik.

Selamat maju jaya dan ‘The Dream Remains’!


Rakan perjuanganmu,
Sharon Wee