Pulangnya Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dikatakan meluangkan buat Neymar mengintai anugerah Ballon d’Or tapi peminat menerusi Twitter berasakan dia lebih layak untuk Oscar.

“Bukan Golden Ball (untuk pemain terbaik Piala Dunia) tapi selayaknya Golden Globe (anugerah pelakon terbaik),” kata salah satu daripadanya.

Untuk segala bakat yang dianugerahkan kepadanya, Neymar terus-menerus menjadi tajuk utama atas sebab-sebab yang tidak sepatutnya.

Turun dalam perlawanan pusingan 16 di Samara, malam tadi, dengan berlatarbelakangkan kritikan hebat gara-gara terjunan dan aksi berguling-gulingnya di peringkat kumpulan sebelumnya, Neymar tidak menunjukkan sebarang rasa serik untuk mengulangi satu lagi episod lakonan hebatnya ketika berdepan Mexico.

Hampir sepanjang perlawanan, pemain nombor 10 Brazil itu pantang tersentuh sedikit dan akan rebah memegang lutut, betis, pergelangan kaki atau menekup muka.

Andai mahu dipercayai lakonannya, Neymar harus lebam-lebam di seluruh badan – anehnya dia bingkas bangun untuk bukan sekadar meneruskan permainan, malah menyudahkan satu gol dan melorongkan untuk satu lagi jaringan.

Satu imej GIF yang menjadi tular memaparkan Neymar merebahkan badan dan berguling-guling di atas padang sejurus berjabat tangan dengan kapten Mexico sebelum sepak mula.

Buat seorang pemain yang diangkat selaku termahal di dunia, demikianlah penghinaan ke atas Neymar --yang barangkali kecuali kepada jurulatih Selecao, Tite, rakan sepasukan dan rakyat Brazil – dianggap mengada-ada.

Salah satu insiden, khususnya pada minit ke-70, mengundang reaksi serta-merta dalam media sosial apabila penyerang itu sekali lagi rebah berhampiran garis tepi padang rentetan pergeseran dengan pemain gantian Mexico, Miguel Layun.



Dalam cubaannya mendapatkan bola yang dikepit Neymar di antara kedua-dua kakinya, Layun mungkin terpijak sedikit pergelangan kaki pemain itu, yang disusuli lakonan menggila tonggak Paris Saint-Germain (PSG) itu yang kembali ke dalam permainan sejurus kemudian.



“Neymar mungkin seorang pemain yang memiliki daya tahan sakit paling rendah dalam sebarang Piala Dunia,” cetus satu tweet bekas penyerang England, Gary Lineker, yang jelas berbaur sindiran berbanding sekadar satu pernyataan.

“Hentikanlah. Kami sudah muak dengannya,” ciap Alan Shearer pula.

“Saya fikir ia memalukan untuk bola sepak,” kata jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio, pula. “Kita semua membazirkan banyak masa hanya untuk seorang pemain. Ini jelas satu contoh yang buruk untuk dunia bola sepak.”

Neymar memilih untuk menepis semua kritikan ke atasnya dengan menganggapnya tidak lebih daripada satu usaha terancang untuk menjejaskan tumpuannya serta menggagalkan Brazil daripada memenuhi status pilihan terhangat untuk menjuarai Piala Dunia.

“Saya tidak begitu pedulikan kritikan atau pujian kerana ia boleh mempengaruhi sikap anda,” ujarnya. “Saya berada di sini untuk menang dan saya boleh terus bertambah baik.”

Seseorang atau siapa saja, tolonglah bawakan anugerah Oscar untuknya.