Belum pun lama selepas memohon maaf kepada penyokong Liverpool, Gary Neville kembali menimbulkan bahang dalam kalangan pengikut pasukan Merseyside itu.

Jika sebelumnya dia meraikan kekalahan 0-2 The Reds dalam ‘derby’ Merseyside kepada Everton di Anfield, awal pagi Ahad lalu, terbaru pula dia mengumpamakan mereka dengan sekumpulan ‘zombie’ yang tidak keruan di atas padang.



“Liverpool akan menempa semusim yang menghampakan jika Jurgen Klopp tidak dapat membendung barisan pemainnya kelihatan seperti ‘zombie’ untuk baki kempen ini,” katanya dalam ‘The Gary Neville podcast’ menerusi Sky Sports kelmarin.

“Ia kerana kurangnya perubahan yang dibuat. Satu idea yang berbeza. Mereka nampak kecundang seakan-akan sekumpulan ‘zombie’ di atas padang – berjalan ke sana ke mari memikirkan perkara yang sama,” katanya lagi.



Neville, yang dikenali sentiasa memperlekehkan musuh Manchester United setiap kali berpeluang, sebelum itu menimbulkan kemarahan penyokong Liverpool apabila memaparkan visual menikmati segelas wain di media sosial sebagai meraikan kekalahan barisan kendalian Klopp itu.

“Ia sesuatu yang sukar… untuk melihat tamatnya riwayat pasukan juara,” cetus bekas bek kanan United itu, yang segera mengundang kecaman penyokong Liverpool yang menggelarnya kurang profesional.

Tambahan pula ia adalah kali pertama Liverpool tewas kepada Everton di Anfield sejak 1999 – 22 tahun lamanya – dalam keputusan yang menyaksikan tuan rumah itu melurut ke tangga keenam dan berisiko besar untuk tercicir tempat dalam saingan Liga Juara-Juara.

The Reds turut tewas empat perlawanan liga berturut-turut di gelanggang keramat mereka di sebalik kebal di Anfield selama hampir empat tahun sebelum melalui rentetan terburuk mereka akhir-akhir ini.

Derby Merseyside itu memanjangkan rekod kekalahan mereka kepada enam daripada sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Tangga keenam yang diisi mereka juga harus sementara kerana tiga lagi pasukan di bawah mereka, khususnya Everton, memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, dengan liga yang berbaki 13 perlawanan lagi.

Sehari selepas memohon maaf menerusi Twitter di atas keceluparannya itu, Neville menawarkan sedikit sagu hati dengan menyuarakan keyakinan bahawa Klopp akan mampu mengubah kehambaran pasukannya untuk berkesudahan dalam kelompok empat teratas.

Tapi, katanya, satu perubahan pendekatan diperlukan daripada pengurus berbangsa Jerman itu untuk kembali menghidupkan cabaran juara bertahan berkenaan.

Antara lain, Neville menawarkan cadangan agar Liverpool mengubah sistem pertahanannya untuk memperbaiki keputusan yang bakal diraih.

Selain itu, dia percaya pemain-pemain Liverpool memerlukan transformasi seperti dilakukan Manchester City, yang semakin selesa di tangga teratas, 10 mata mengatasi United di tangga kedua.

Jumlah 40 mata yang dihimpun Liverpool daripada 25 perlawanan, sebenarnya kurang 33 mata daripada detik yang sama musim lalu ketika mereka tampil juara.

“Ia bukanlah untuk saya menasihati Liverpool atau Klopp apa yang patut dilakukan…,” katanya lagi.

Reaksi awal penyokong Liverpool?

“Sudahlah Neville. Kamu bukannya ada rekod kejayaan sebagai pengurus pun,” kata mereka merujuk kepada tempoh singkatnya selaku pengurus kelab LaLiga, Valencia, yang hanya bertahan empat bulan pada musim 2015-16 sebelum dipecat.