Selesai sudah Sukan SEA Ke-29 – sebuah temasya dwitahunan yang tertanam dalam minda penulis sejak kecil.

Sekalung penghargaan kepada 844 atlet dan 390 pegawai, termasuk jurulatih, pengurus pasukan, penolong pengurus pasukan dan pegawai urusetia yang membentuk kontinjen Team MAS.

Syabas juga kepada semua pemenang 145 emas – bermula daripada pasukan chinlone linking hinggalah peguam, Anja Chong, dalam luncur ais 1,000 meter – pada hari terakhir temasya.

Tahniah buat 92 pemenang pingat perak. Anda juga berkorban menjalani latihan sejak 2015.

Sejambak tahniah juga buat 86 pingat gangsa. Anda juga berusaha keras sepanjang dua tahun.

Syabas juga kepada penyokong dan penonton yang datang dari seluruh pelosok negara untuk menikmati penganjuran Sukan SEA.

Tahniah kepada pegawai teknikal untuk semua sukan.

Syabas juga kepada pemikir di sebalik tabir.

Jambangan bunga yang harum juga dikirim kepada sukarelawan yang mewarnai temasya.

Tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), persatuan sukan kebangsaan dan agensi-agensi kerajaan yang terbabit serta Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Malaysia (MASOC) dalam merencanakan penganjuran di balik dan di depan tabir.

Namun, di sebalik kejayaan di atas gelanggang, luar gelanggang banyak meninggalkan kisah pahit.

Pada malam bersejarah Khairul Hafiz Jantan mengungguli acara pecut 100m lelaki, semua protokol pasca perlumbaan dilanggar. Selain terlalu ramai individu di kawasan larangan, tidak pernah pemenang emas acara itu diberi masa memberi ucapan di podium.

Sedangkan tubuhnya memerlukan rehat, Khairul masih diperlukan untuk acara 200m dan 4x100m serta 4x400m jika mengikut perancangan asal.

Kawalan keselamatan juga longgar apabila di sesetengah tempat, atlet dan media tidak perlu melalui mesin pengimbas.

VVIP juga tidak wajar mengganggu konsentrasi atlet. Pada hari perlumbaan di Velodrom Nasional di Nilai, di saat pelumba memanaskan badan, mereka menerima kunjungan VVIP.

Sistem keputusan juga perlahan. Malaysia tewas kepada Indonesia dalam polo air tetapi sehingga keesokannya, keputusan tidak dikemas kini di laman web. Laman web rasmi juga tidak mesra pengguna.

Tiket final bola sepak tidak dijual atas talian, maka membataskan kelompok penyokong sejati yang benar-benar menyokong bola sepak tempatan untuk menyaksikan final.

Bagi generasi gajet, usah kita menganjurkan temasya syok sendiri dan berswafoto melampau-lampau.

Dunia sebenar memerlukan kerahan tenaga dan kudrat, keringat yang mengalir, kepantasan menyelesaikan masalah serta membuang ego sebesar stadium di rumah masing-masing.

Penganjuran temasya seperti Sukan SEA bukan propaganda yang boleh dimenangi dalam alam maya.

Kejayaannya bergantung kepada yang gabungan tenaga pemikir dan pelaksana yang bergerak sehaluan secara profesional.

Sukan SEA bukan untuk Malaysia sahaja. Ingat ada 10 lagi negara yang bertanding dan menjadi pengunjung negara kita.

Negaraku belum bersedia untuk Sukan Asia nampaknya, sekalipun generasi terdahulu berjaya menganjurkan Sukan SEA 1989, Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2001 (zaman sebelum twitter dan instagram) – ketiga-tiga temasya itu satu sukses di luar dan dalam gelanggang.

Dalam pascanilai yang harus dilakukan oleh KBS, soalnya apakah kita sudah terkebelakang?