Menurut kata seorang rapper terkenal dari Amerika Syarikat, Lil Wayne di dalam sebuah lagunya yang berjudul 6 foot 7 foot, “Real G’s move in silence like lasagna” yang boleh ditafsirkan sebagai “Berusahalah dalam diam” dan ianya bertepatan dengan ritma pasukan Washington Wizards yang memegang rekod 4-1 setelah 5 perlawanan.

Washington Wizards yang diketuai oleh pemain all-star Bradley Beal tampak gah di awal pembukaan liga apabila menewaskan Toronto Raptors 98-83 yang menyaksikan Beal menyumbangkan 23 mata untuk membawa pulang kemenangan pertama dari Kota Toronto.

Kyle Kuzma dan Montrezl Harrell yang diperoleh hasil daripada pertukaran bersama pasukan Los Angeles Lakers juga dilihat menunjukkan impak yang positif apabila Kuzma menyumbangkan 11 mata dan 15 rebounds, manakala Montrezl Harrell pula mendominasi kawasan di bawah jaring apabila menjaringkan bola 9 kali dalam 11 percubaan yang memberikan dia 22 mata dan 9 rebounds.

Adakah ini petanda yang baik buat bekas pemain Los Angeles Lakers yang bertapak di Washington Wizards?




Jawapannya ya.

Kerana di perlawanan seterusnya menentang Indiana Pacers yang bertempat di Capitol One Arena, Washington, Kyle Kuzma merupakan antara pemain utama buat Washington Wizards apabila dia menjaringkan free throw terakhir buat pasukan Wizards untuk menjamin kemenangan kedua pasukan itu 135-134 setelah masa tambahan.

Bermain tanpa Bradley Beal pada perlawanan kedua memberi ruang kepada Spencer Dinwiddie untuk mengetuai pasukan itu dan dia tampak yakin menyahut cabaran apabila berjaya menjaringkan 34 mata, 6 rebounds dan 9 assists.

Kyle Kuzma juga tampak menyahut cabaran untuk menjadi bintang kedua pasukan itu menyokong usaha Spencer Dinwiddie apabila menjaringkan 26 mata dan 11 rebounds. Namun Toronto Raptors dan Indiana Pacers bukanlah pasukan yang mengerikan pasukan lawan. Adakah mereka hanya mampu mendapatkan kemenangan menentang pasukan kecil?





Pada perlawanan ketiga, mereka bertemu pasukan yang dijangka untuk mewakili Eastern Conference untuk ke NBA Finals iaitu Brooklyn Nets dan tampaknya rentak kemenangan mereka terpaksa menjadi korban di Barclays Center, Brooklyn apabila pasukan Washington Wizards tumpas di tangan Kevin Durant dan Brooklyn Nets 90-104.

Kevin Durant menjaringkan 25 mata dan 8 rebounds untuk menyerahkan kekalahan pertama pasukan Wizards setelah 3 perlawanan. Bradley Beal hanya menjaringkan 19 mata dan itu tampak tidak cukup untuk mengangkat pasukan Washington Wizards menentang salah satu pasukan gergasi dalam bola keranjang, Brooklyn Nets. Kyle Kuzma dan Spencer Dinwiddie yang menyerahkan kekalahan ke-2 pasukan Indiana Pacers di perlawanan sebelumnya tampak seperti kehabisan minyak di dalam tangki mereka apabila hanya menyumbangkan 16 mata digabung bersama.

Kyle Kuzma hanya menjaringkan bola 3 kali dalam 11 percubaan manakala Spencer Dinwiddie juga hanya menjaringkan bola 3 kali dalam 13 percubaan. Jumlah ini semestinya tidak mencukupi untuk menewaskan pasukan gergasi Eastern Conference, Brooklyn Nets itu. Adakah ini petanda kejatuhan Pasukan Washington Wizards?






Bermain di TD Garden, Boston menentang pasukan Boston Celtics pada perlawanan ke-4 setelah kekalahan pertama pasukan itu tampak seperti tugas yang berat buat pasukan Washington Wizards yang harus berdepan cabaran Jayson Tatum dan pasukan Celtics.

Namun, Montrezl Harrell berfikir sebaliknya, Harrell sekali lagi menjadi raksasa di kawasan bawah jaring apabila hanya tersasar 3 kali dan menjaringkan bola 10 kali dalam 13 percubaan yang menyaksikan Montrezl Harrell menyumbangkan 25 mata dan 11 rebounds dalam kemenangan ketiga pasukan itu dalam 4 perlawanan apabila berjaya menidakkan pasukan Boston Celtics 116-107 di gelanggang mereka.

Spencer Dinwiddie juga dilihat bangkit setelah aksi yang hambar di Barclays Center, Brooklyn apabila menjaringkan 22 mata buat pasukan Wizards menentang pemain yang dikenali mewakili pasukan Boston Celtic, dengan kekuatan pertahanannya yang keras iaitu Marcus Smart.

Kyle Kuzma tampak masih tenggelam dalam perlawanan ke-4 itu apabila hanya menjaringkan bola 4 kali dalam 11 percubaan. Adakah aksi tidak konsisten Kyle Kuzma akan menyakiti prestasi pasukan Wizards?






Keesokan harinya, Washington Wizards bertemu Atlanta Hawks tetapi kali ini mereka bermain di hadapan para peminat mereka di Kota Washington.

Atlanta Hawks merupakan pasukan yang harus ditakuti kerana mereka baru sahaja melayakkan diri ke peringkat Eastern Conference Finals pada musim lepas. Kyle Kuzma seperti bangkit di bahagian katil yang betul kali ini apabila menjaringkan 21 mata dan 8 rebounds buat pasukan Washington Wizards menewaskan Atlanta Hawks 122-111. Secara amnya, pasukan Washington Wizards menampilkan aksi yang menarik di bahagian serangan apabila 4 pemain daripada pasukan itu menjaringkan lebih 20 mata.

Bintang utama pasukan itu, Bradley Beal mendahului pasukan dalam jaringan apabila menyumbangkan 27 mata, 8 rebounds dan 8 assists. Manakala, Montrezl Harrell meneruskan aksi dominannya apabila menjaringkan 25 mata dan 13 rebounds untuk menjadi pemain kedua dengan jaringan terbanyak pasukan itu di dalam perlawanan menentang Hawks.

Di perlawanan ini, Kentavious Caldwell-Pope akhirnya menyinar setelah 4 perlawanan apabila menjaringkan 5 3-pointer dalam 7 percubaan yang menghasilkan 21 mata buat dirinya. Ketiga-tiga bekas pemain Los Angeles Lakers menyinar terang di dalam perlawanan ini untuk mengangkat pasukan Washington Wizards ke tangga ke-4 Eastern Conference menyamai rekod 3 pasukan di atas mereka 4-1 iaitu Chicago Bulls, New York Knicks dan Charlotte Hornets.

Tanpa Russell Westbrook mungkin segelintir peminat liga NBA menolak tepi cabaran Washington Wizards di dalam liga NBA, namun, pasukan itu tampak yakin dengan skuad yang diperolehi mereka. Washington Wizards mungkin menjadi black horse dalam saingan merebut kejuaraan liga NBA pada musim ini. Sekiranya mereka mampu bermain sebagai sebuah pasukan dan menggilap bakat yang diperolehi mereka, mereka pasti mempunyai potensi untuk melayakkan diri jauh di peringkat playoffs kelak.