Liga NBA bakal kembali tidak lama lagi bagi musim 2021-22 dan kebanyakan pasukan sudah pun mencorak strategi mereka buat musim baru yang bakal tiba itu. Walaupun Free Agency musim ini tidak menawarkan nama-nama besar seperti tahun lain, semua pasukan masih mencuba yang terbaik untuk mencari padanan yang sesuai buat pasukan mereka demi mengharungi cabaran musim 2021-22 yang akan menjelang tidak lama lagi. Di sini kita akan kupaskan lima perpindahan terbaik buat musim 2021/22.



5. New York Knicks

Masuk : Kemba Walker, Evan Fournier, Quentin Grimes

Keluar : Reggie Bullock, Elfrid Payton

Kota New York sudah lama menantikan ketibaan seorang pemain bintang untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan mereka dan kini peminat New York Knicks boleh menghembuskan nafas lega setelah akhirnya mendapatkan khidmat pemain bintang, Kemba Walker, yang tiba daripada Boston Celtics bersama Evan Fournier.

Musim lepas, kita meyaksikan pasukan Knicks akhirnya berjaya melayakkan diri ke pusingan playoff setelah lapan tahun, namun harapan mereka untuk terus mara terkandas dalam pusingan pertama selepas dikalahkan Atlanta Hawks dalam perlawanan kelima yang menyaksikan Atlanta Hawks memenangi siri itu 4-1.

Namun, skuad New York Knicks musim ini tampak lebih bersedia dengan azam baru untuk mara lebih jauh dalam pusingan playoffs selepas melakukan naik taraf yang sempurna bagi pasukan mereka. Pemain harapan New York, Julius Randle, kini mempunyai senjata baharu untuk bermain bersama di samping pemain-pemain daripada musim lepas yang berusaha bersama Randle untuk membawa pasukan Knicks ke pusingan playoff.

Gandingan Kemba Walker-Julius Randle akan dinantikan oleh semua peminat pasukan New York Knicks bagi musim baharu ini dan juga semua peminat liga NBA..



4. Chicago Bulls

Masuk : Demar Derozan, Lonzo Ball, Alex Caruso, Derrick Jones Jr, Tony Bradley

Keluar : Lauri Markkanen, Thaddeus Young, Tomas Satoransky, Daniel Theis, Garrett Temple, Al-Farouq Aminu

Chicago Bulls kini seperti berwajah baru setelah melakukan banyak perubahan besar dalam pasukan mereka dan perubahan ini ialah suatu perubahan yang PERLU dilakukan oleh pasukan Bulls.

Kali terakhir pasukan Chicago Bulls bermain dalam pusingan playoff adalah dalam musim 2016/17, di mana mereka disingkirkan dalam pusingan pertama. Namun musim hadapan, matahari bersinar cerah buat pasukan Chicago Bulls untuk melayakkan diri ke pusingan playoffs setelah mendapatkan khidmat pemain veteran, Demar Derozan, yang boleh membantu unit serangan mereka -- yang bergantung hanya kepada kebolehan Zach Lavine pada musim lepas.

Lonzo Ball juga merupakan naik taraf yang baik buat pasukan Chicago Bulls, yang mencari pemain point guard yang mahir di bahagian pertahanan dan kreatif menghantar bola. Chicago kini boleh mengharapkan khidmat Lonzo Ball untuk menggalas tugas itu dan bermain di samping pemain bintang mereka, Zach Lavine, untuk mengetuai unit serangan.

Dan Alex Caruso juga merupakan tambahan yang baik buat unit kedua mereka, di mana gaya permainannya yang ligat seperti disaksikan ketika dia bermain di Los Angeles Lakers pasti akan melancarkan serangan unit kedua Bulls disamping Coby White. Kota Chicago juga kini mempunyai dua pemenang Dunk Contest setelah menambah Derrick Jones Jr. ke dalam pasukan mereka. Chicago Bulls pasti akan menjadi antara pasukan yang seronok untuk ditonton pada musim hadapan.



3. Phoenix Suns

Masuk : Javale McGee, Landry Shamet, Elfrid Payton

Keluar : Torrey Craig, Jevon Carter

Setelah melakukan kejutan musim lepas dengan memenangi Western Conference, Phoenix Suns seakan lebih mendahagakan kejayaan dan mahu mengulangi kejayaan itu musim hadapan. Staf pasukan Phoenix Suns memberikan sepenuh perhatian mereka untuk menganalisis segala masalah yang mereka hadapi musim lepas dan mencari cara untuk menyelesaikan masalah itu dan hasilnya, mereka membawa pemain-pemain yang tepat dan sesuai untuk tugas yang diperlukan untuk menaik taraf pasukan.

Keputusan Chris Paul untuk melanjutkan kontrak dan percaya kepada pasukan Suns merupakan antara kunci utama naik taraf pasukan itu. Keputusan pasukan dan pemain Phoenix Suns untuk tidak merombak seluruh pasukan juga merupakan strategi yang baik. Mereka masih mempunyai skuad kukuh yang kita saksikan dalam Final NBA musim lepas.

Dalam Final NBA musim lepas, Deandre Ayton merupakan pemain utama dalam melemahkan dominasi Giannis Antetokounmpo tetapi sering berdepan masalah foul yang menyaksikan Ayton terpaksa duduk di bangku simpanan pada saat-saat genting, namun Suns kini membawa masuk pemain bersaiz besar yang mampu meringankan beban Ayton, iaitu Javale McGee, yang baru sahaja memenangi pingat emas bersama pasukan Amerika Syarikat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain itu, penambahan Landry Shamet yang mahir melakukan balingan tiga mata juga merupakan penambahan yang strategik buat pasukan Suns, yang gemar bermain gaya 'pick & roll' yang memberi kesempatan buat Shamet untuk mencari ruang dan melakukan balingan tiga mata. Elfrid Payton, yang mahir bermain pertahanan juga merupakan 'back-up' atau gandingan yang baik buat Cameron Payne yang baru sahaja melanjutkan kontrak bersama Suns setelah melakukan tugas yang baik mengemudi unit kedua pasukan Suns.



2. Los Angeles Lakers

Masuk : Russell Westbrook, Carmelo Anthony, Kendrick Nunn, Wayne Ellington, Malik Monk, Dwight Howard, Trevor Ariza, Kent Bazemore, Rajon Rondo, DeAndre Jordan

Keluar : Dennis Schroder, Kyle Kuzma, Kentavious Caldwell-Pope, Montrezl Harrell, Alex Caruso, Andre Drummond, Markieff Morris, Ben McLemore, Marc Gasol

Los Angeles Lakers telah mengoyak buku cerita mereka daripada musim lepas dan telah membuka lembaran baru buat musim akan datang setelah melepaskan semua pemain mereka dan hanya mengekalkan tiga pemain daripada musim lepas untuk terus menyarung jersi ungu dan emas mereka, iaitu Lebron James, Anthony Davis dan Talon Horton-Tucker, buat musim hadapan.

Kehadiran bekas MVP musim 2016-17, iaitu Russell Westbrook, semestinya mengukir senyuman buat semua peminat Los Angeles Lakers yang bakal menyaksikan gandingan trio all-star, Lebron-Davis-Westbrook, mendominasi setiap perlawanan. Tugas mengemudi pasukan Lakers yang dipikul oleh Lebron James pada musim lepas akan dikongsi bersama Westbrook, yang mahir mendominasi setiap aspek permainan bola keranjang, sekaligus meringankan beban pemain berusia 36 tahun itu.

Rajon Rondo dan Dwight Howard, yang membantu skuad Los Angeles Lakers memenangi kejuaraan pada tahun 2019-20, kini kembali ke pasukan Lakers untuk membantu misi skuad Lakeshow itu untuk sekali lagi mengecap kejuaraan yang mereka raih tahun lepas bersama pasukan ini. Selain itu, penambahan Carmelo Anthony ke pasukan Lakers untuk bermain di samping rakan karibnya, Lebron James, membawa makna sentimental buat peminat liga NBA, di sebalik kemahirannya yang boleh membantu pasukan Lakers di bahagian serangan.

Bagaimanapun, masalah utama yang bakal dihadapi skuad Lakers yang berwajah baru ini ialah faktor usia setiap pemain. Pasukan Los Angeles Lakers kini mempunyai skuad tertua dalam liga NBA apabila majoriti pemain dalam skuad ini adalah pemain veteran. Namun, mereka optimis bahawa pasukan mereka mempunyai pengalaman terbaik untuk mengharungi segala cabaran dalam saingan akan datang.



1. Miami Heat

Masuk : Kyle Lowry, P.J. Tucker, Markieff Morris

Keluar : Goran Dragic, Andre Iguodala, Kendrick Nunn, Trevor Ariza, Nemanja Bjelica, Precious Achiuwa

Setelah musim yang agak hambar buat Miami Heat musim lepas, yang disapu bersih oleh Juara NBA musim 2020-21, Milwaukee Bucks, dalam pusingan pertama peringkat playoffs, kini finalis Final NBA 2019-20 itu kembali dengan gelaran pencabar kejuaraan setelah mendapatkan khidmat tiga pemain veteran berpengalaman yang pernah menjuarai liga NBA edisi sebelum ini.

Kyle Lowry, yang merupakan antara tonggak utama Toronto Raptors yang merangkul kejuaraan liga NBA pada musim 2018-19, merupakan naik taraf yang terbaik buat pasukan Heat untuk digandingkan bersama pemain bintang mereka seperti Jimmy Butler, Victor Oladipo dan Bam Adebayo kerana kemahirannya mencipta strategi yang sesuai untuk setiap pemain akan membantu jentera serangan pasukan Heat menyerang dengan lebih efisien. Selain itu, kepimpinan Kyle Lowry juga merupakan antara aset penting yang dapat membantu pemain muda pasukan Heat untuk terus berkembang menjadi pemain yang lebih efisien.

Juara NBA 2019-20, Markieff Morris, dan juara NBA 2020-21, P.J. Tucker, mempunyai gaya permainan yang seakan-akan iaitu mereka merupakan pemain yang agresif di bahagian pertahanan dan ia banyak membantu pasukan mereka dalam meraih kejuaraan. Versatiliti mereka yang boleh bermain di lebih dari satu posisi juga merupakan kelebihan individu mereka yang boleh membantu pasukan menyesuaikan mereka di setiap corak permainan. Penambahan mereka ke skuad Miami Heat akan menjadi padanan yang sesuai dengan gaya permainan Miami Heat yang gemar bermain agresif di bahagian pertahanan.

Miami Heat telah meraih tiga pemain yang dikenali sebagai pemain yang bersedia untuk bermain mati-matian untuk pasukan di dalam gelanggang dan akan menjadi tonggak utama di bahagian pertahanan dan itu sangat membantu identiti pasukan Miami Heat yang kini dikenali sebagai pasukan yang hebat bermain di bahagian pertahanan dan bersedia untuk mempertaruhkan segalanya untuk merasai kejayaan menjuarai liga NBA.