Berdiri 6 kaki 7, dari Chino Hills, California. LaMelo Ball kini seorang pemain bertaraf All-Star setelah diundi masuk ke All-Star game untuk menggantikan pemain Bintang Brooklyn Nets dan juga Kapten Pasukan, Kevin Durant yang cedera dan bakal menyaksikan perlawanan All-Star di bangku simpanan akibat kecederaan itu.

Pilihan Ketiga di NBA Draft 2020 oleh Charlotte Hornets itu kini menjadi pemain pertama daripada Draft Class 2020 untuk bermain di All-Star game. Perkataan All-Star itu tidak asing lagi bagi LaMelo Ball yang sudah mengecapi taraf Superstar dari segi populariti oleh kerana aksinya yang lincah di atas gelanggang bola keranjang dan kata-kata kontroversi bapanya yang selalu menyanjung tinggi anak-anaknya iaitu Lonzo, LiAngelo dan LaMelo Ball. Bapanya sering menjadi muka hadapan tabloid dan rancangan perdebatan hangat di Amerika Syarikat. Antara kata-kata kontroversi bapanya ialah “Saya boleh kalahkan Michael Jordan 1 lawan 1” dan “LaMelo Ball akan menjadi bintang liga NBA”, dan perkara-perkara ini telah membawa beban yang besar kepada Lonzo dan LaMelo Ball yang bagaikan jatuh ke dalam perangkap jerung apabila ketibaan mereka dinantikan pemain NBA yang ingin membuktikan bahawa Lavar Ball salah. Namun, itu tidak menggentarkan LaMelo Ball yang berjaya melayakkan dirinya sebagai seorang pemain All-Star walaupun baru memasuki tahun keduanya di liga NBA.



Tidak boleh disangkal lagi, LaMelo Ball telah mengangkat nama francais Charlotte Hornets di mata peminat liga NBA. Apa yang dulu hanyalah sebuah gudang usang, kini penuh diisi penyokong yang tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan yang rancak dan penuh bertenaga diketuai LaMelo Ball. Charlotte Hornets kini menduduki tangga ke-9 Eastern Conference yang sengit diisi pasukan yang kukuh daripada segi kestabilan pasukan. LaMelo Ball menyumbangkan 19.8 mata dan 7.1 rebounds menyamai rekod Miles Bridges dengan 19.8 mata dan 7.1 rebounds juga untuk meletakkan mereka berdua sebagai pendahulu pasukan daripada segi jaringan mata yang disumbangkan dan berkongsi tempat ke-2 daripada segi kutipan rebounds. Namun, LaMelo Ball meneruskan aksi cemerlang di atas gelanggang daripada segi statistik apabila menjadi pendahulu pemberian assists buat pasukan Hornets dengan 7.5 assists per game dan juga menjadi pendahulu pasukan buat curian bola dengan 1.6 steals per game. Daripada segi statistik, LaMelo Ball telah mengisi segala kolum di dalam kertas statistik perlawanan untuk membuktikan dirinya layak diangkat sebagai pemain All-Star dan sumbangannya juga kepada Charlotte Hornets harus dipandang tinggi.



LaMelo Ball yang baru berusia 20 tahun telah menjadi pemain ke-4 termuda untuk ditaraf sebagai All-Star selepas mendiang Kobe Bryant, Lebron James dan Magic Johnson. Masing-masing daripada senarai itu telah menjadi pemain yang hebat sepanjang karier mereka dan begitu juga dijangka buat LaMelo Ball yang telah menarik minat media terhadap kariernya sejak dia berumur 14 tahun apabila mempunyai rekod terbaik di kejohanan sekolah menengah apabila bermain bersama Chino Hills yang diketuai abangnya Lonzo Ball dan LiAngelo Ball dengan rekod 35-0. Perdebatan mengenai bahawa itu adalah pasukan bola keranjang peringkat sekolah menengah terbaik menjadi lebih kukuh apabila mereka berjaya memenangi kejohanan peringkat Negeri California pada tahun 2016. Namun, setelah ketiadaan Lonzo Ball, LaMelo mengambil tugas mengetuai pasukan Chino Hills dan sekali lagi menarik minat media terhadapnya apabila menyumbangkan 92 mata buat pasukan Chino Hills tahun berikutnya. LaMelo Ball baru berusia 15 tahun ketika itu.



Pada usia 16 tahun, LaMelo Ball menjadi pemain bola keranjang termuda untuk mengeluarkan sepasang kasut miliknya iaitu ‘Melo Ball 1’ dibawah syarikat bapanya, Big Baller Brand yang menjadi fenomena ketika itu.

Walaupun perjalanan kariernya tidak seperti anak muda Amerika Syarikat yang lain, namun itu merupakan antara kekuatannya. Pada hujung tahun 2017, LaMelo Ball membawa bakatnya ke liga divisyen pertama Lithuania, untuk bermain bersama abangnya LiAngelo Ball di pasukan Prienu Vytautas. Perjalanannya di Lithuania ditemani krew produksi Ball In The Family yang merakamkan detik-detiknya mencipta sejarah menjadi anak muda Amerika termuda untuk bermain di luar negara pada usia 16 tahun dan menjadikan dia bintang sensasi internet. Perjalannya di Lithuania tidak seindah yang diharapkan apabila kurang mendapat minit permainan dan setelah meluangkan masa selama setahun di Lithuania, dia kembali ke Amerika Syarikat untuk menghabiskan masa sekolah menengahnya bersama Spire Institute di Geneva, Ohio.



Setelah tamat zaman persekolahan, dia membuat keputusan untuk ke Australia bagi mengambil cabaran Liga Bola Keranjang Kebangsaan Australia (NBL) bersama pasukan Illawarra Hawks yang melihatkan mekarnya seorang LaMelo Ball di tanah Australia. LaMelo Ball tampak bersedia untuk mengambil cabaran liga NBA apabila menjadi Rookie Of The Year liga NBL apabila memperolehi 17 mata, 6.8 assists dan 7.4 rebounds secara purata setiap perlawanan.



Tibanya LaMelo Ball ke liga NBA disambut peminat dengan mata tertumpu kepadanya untuk melihat ura-ura yang sering digembar gemburkan bapanya dan LaMelo Ball berjaya menutup mulut pengkritiknya apabila berjaya menjadi Rookie Of The Year liga NBA pada tahun 2020 hasil aksi hebatnya membantu pasukan Charlotte Hornets ke peringkat Play-In NBA 2020 untuk melayakkan tempat ke playoffs namun tersingkir.

Cabaran untuk ke playoffs bersama pasukan Charlotte Hornets kini digalas lagi oleh LaMelo Ball dan kini usahanya telah diiktiraf oleh liga NBA setelah dinobatkan sebagai All-Star. Namun, ini bukanlah tanda untuk berhenti buat LaMelo Ball. Perjalanan masih luas terbentang di hadapannya dan masih banyak perkara yang perlu diusahakan untuk menjadikan dia sebagai pemain terbaik liga NBA seperti yang dijanjikan Lavar Ball.