Lapan tahun dulu ketika Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) memperkenalkan Liga Berlian, saya berharap ada atlit Malaysia dapat menyertai kejohanan tertinggi olahraga itu.

Ketika itu, hadiah wang tunai hampir RM180,000 untuk juara keseluruhan membabitkan 14 siri kejohanan, satu jumlah yang cukup lumayan dalam dunia olahraga.

Tahun ini, jumlahnya meningkat berkali ganda hingga mencecah RM14 juta bagi juara keseluruhan.

Namun, selepas lapan tahun belum ada atlit negara yang mampu meloloskan diri hingga muncul jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh.

Berbekal catatan 2.29m yang juga rekod kebangsaan, atlit kelahiran Johor Bahru ini mula mencuri tumpuan IAAF.

Dia juara bertahan Sukan Sea dan menghuni ranking pertama Asia Tenggara ketika ini.

Malah, prestasi baik ketika menjalani kem latihan pusat dan kejohanan di Australia membuka mata IAAF bahawa Nauraj memiliki potensi untuk melangkah jauh di pentas antarabangsa.

Maka, dia ditawarkan tiket beraksi di Liga Emas, kejohanan satu tahap dibawah Liga Berlian.

"Saya tidak sangka muncul atlit pertama negara terpilih ke Liga Emas. Ia salah satu impian dan laluan saya ke Liga Berlian yang hanya membabitkan 16 atlit ranking terbaik dunia.

"Saya sedang melakukan perancangan rapi bersama jurulatih, Alex Stewart untuk menghadapi Liga Emas di Jepun dan berharap sekurang-kurangnya dapat memecahkan rekod kebangsaan di sana," kata Nuaraj.

Nauraj akan mencabar Liga Emas di Kawasaki, Jepun pada 21 Mei depan.

Kejohanan itu turut menawarkan ganjaran lumayan di mana tiga atlit, Sanya Richard (Amerika Syarikat) dalam acara 400m, Yelena Isinbayeva (Russia) lompat bergalah dan Bekele Kenenisa (Ethopia) jarak jauh - pernah berkongsi RM1.3 juta.

Semoga Nauraj berjaya mencapai misinya sekaligus layak ke Liga Berlian. Singh is King!