Apa yang menjadi penentu kepada nasib saingan Liga Super musim 2020 ?

Minggu ini, satu keputusan akan dibuat oleh badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Penganjur Liga (MFL).

"Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa di teruskan, FAM bersama MFL akan capai satu keputusan yang turut menjurus ke arah pembatalan liga musim 2020, yang menjadi pilihan akhir.’ kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Pelbagai versi mula menjadi hujah ramai pihak.

Bermula dari saranan membatalkan terus aksi liga musim ini, namun beberapa isu berbangkit menyaksikan ada pertimbangan dari FAM & MFL di mana saingan musim ini bakal dijalankan tanpa kelibat penonton.

"Ia mengikut saranan kerajaan, yang menghalang sebarang ‘mass-gathering’ walaupun perintah PKP berakhir", ujar Hamidin

Tetapi bagaimana panduan keselamatan ke atas pemain, adakah mereka perlu menjalani saringan Covid-19, setiap kali atau selepas perlawanan.

Jika benar ia mahu diteruskan campur tangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi perkara wajib.

Lain kesan yang menjurus kepada saingan liga musim ini, adalah penjadualan semula perlawanan.

"Saya menjangkakan jadual yang padat terpaksa di hadapi kami sebagai pemain, namun jika itu yang terbaik, kami perlu bersedia", Itu jawapan pemain berpengalaman Shukor Adan yang kini menyarung jersi Kuala Lumpur.

Apa sekali pun, isu penajaan & kontrak pemain menjadi punca FAM & MFL perlu mengambil masa untuk capai kata putus.

Selebihnya mereka juga perlu bersedia dengan sebarang saranan kerajaan merujuk kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat KKM.