Kesilapan pemain pertahanan import Kedah, Renan Alves, yang menampan bola di dalam kawasan penalti pada minit ke-39 memulakan episod sedih untuk Kedah setelah memberi saingan pada awal permainan ketika bertemu FC Seoul dalam play-off Liga Juara-juara Asia (ACL), malam tadi.

Sepakan penalti yang diberikan kepada FC Seoul disempurnakan oleh Park Chu Young sementara Renan Alves dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua dalam perlawanan berkenaan.

Setelah ketiadaan Alves yang dibuang padang, agak sukar untuk Lang Merah bangkit memberi tentangan kepada FC Seoul yang mendominasi permainan sejak awal.

Namun, itu tidak melemahkan semangat Kedah untuk mencari jaringan penyamaan melalui serangan balas yang dilakukan.

Peluang terbaik Kedah hadir untuk menyamakan apabila peluang yang dimiliki Kipre Tchetche berjaya diselamatkan oleh penjaga gol FC Seoul, Yu Sang Hun, pada penghujung babak pertama.

Bersambung babak kedua, Aidil Sharin Sahak masih mengekalkan strategi bertahan dan hanya melakukan serangan balas memandangkan pemain lawan mempunyai teknikal individu yang baik selain kepantasan.

Akhirnya, serangan pantas yang dilakukan FC Seoul melalui hantaran lintang pemain pertahanan kanan, Joo Sung Kim, tepat menuju Park Dong Jin, yang dapat melakukan tandukan padu untuk menewaskan Sharil Saari bagi jaringan kedua FC Seoul pada minit ke-49.

Selang beberapa minit permainan bersambung, Kedah berjaya mengejutkan FC Seoul dengan jaringan pertama melalui jaringan sendiri Osmar setelah tertanduk sepakan percuma Badrol Bakhtiar pada minit ke-52 bagi menjadikan kedudukan 1-2.

Tetapi selepas itu FC Seoul terus bangkit untuk memburu jaringan dan akhirnya Osmar menebus kesilapannya itu dengan satu jaringan cantik melalui rembatan padu sepakan percuma dari luar kotak penalti dan menjadikan kedudukan 3-1.

Jaringan itu tidak melemahkan semangat pemain-pemain Kedah yang bertahan memberi saingan, namun dengan kemahiran indivitu yang tinggi serta pengalaman luas pemain-pemain FC Seoul, Lang Merah akhirnya kecundang juga dengan jaringan keempat melalui Ikram Alibaev pada minit-minit akhir permainan.

Dengan kekalahan 1-4 kepada FC Seoul itu, berakhirlah sudah cabaran Kedah dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), namun ia memberi pengalaman yang berguna kepada pemain-pemainnya bersaing di peringkat tertinggi.