Naomi Osaka dari Jepun menjuarai tenis Terbuka Australia 2019 sekaligus dinobatkan sebagai pemain nombor satu wanita dunia secara rasmi hari ini.

Naomi -- pemain kacukan Haiti dan Jepun dibesarkan di Amerika Syarikat (AS) -- mencipta sejarah apabila muncul pemain tenis Asia pertama berada di puncak teratas dunia setelah menumpaskan juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova, 7-6, 5-7, 6-4 di Melbourne.

Pemain 21 tahun itu menyatakan dia perlu menjadi ‘robot’ untuk menjuarai Grand Slam keduanya berturut-turut selepas kemenangan penuh dramatik ke atas juara Grand Slam 23 kali, Serena Williams, dalam Terbuka Amerika Syarikat, empat bulan lalu.

Naomi yang mempunyai personaliti pemalu mengakui lupa untuk senyum, tampak kekok ketika membuat ucapan di majlis penyampaian hadiah.

Namun, karakter bersahajanya mencuri hati peminat seluruh dunia dan menjadi idola golongan remaja terutama mereka yang berkongsi hobi yang sama dengan Naomi, iaitu permainan video.

Menurut Naomi, dia hampir menghabiskan masa yang sama dalam permainan video 'Overwatch' berbanding masa latihan tenis di dalam gelanggang.

Dari ranking 72 dunia Januari lalu, siapa yang menjangka dalam tempoh setahun, Naomi Osaka menjadi pemain kebanggaan Jepun dan Asia, kini berada di ranking nombor satu dunia.

Jangan terkejut, mungkin Naomi mampu jadi pemain nombor satu dunia E-sukan satu hari nanti.