Sesuatu di luar logik akal jika seorang atlet yang sedang meningkat naik prestasinya apatah lagi baru bergelar juara dunia bulan lalu, tewas dalam perlawanan dengan seteru yang bukan tandingan. Namun itulah yang telah berlaku kepada juara Grand Slam , Naomi Osaka baru-baru ini dalam Kejohanan Tenis Dubai. Beliau terpaksa tunduk dengan keputusan 6-3

Ini semua gara-gara perpisahan Osaka bersama jurulatihnya Sascha Bajin baru-baru ini selepas merangkul kejuaraan di Australia seterusnya menduduki ranking tertinggi dunia. Osaka memberi alasan bahawa segala perhatian dan tumpuan yang diberikan pihak media terhadap perkara tersebut menjejaskan tumpuannya dalam pertandingan sekaligus menjadi punca kekalahan ini. “Saya merasakan mereka memandang saya dengan persepsi yang buruk”, ujar Osaka.

Tidak dinafikan bahawa perjalanan Osaka dengan bekas jurulatihnya Sascha Bajin memberi kejutan dunia tenis apabila peningkatan prestasi dan kedudukannya meningkat mendadak. Apa tidaknya, dari kedudukan nombor 72 pada awal 2018, beliau terus melakar kejayaan demi kejayaan sehingga menduduki tangga tertinggi dunia pada bulan lalu.Keputusan yang begitu pantas dalam masa kurang satu tahun.

Namun jodoh mereka untuk kekal bekerjasama tidak berpanjangan apabila diumumkan tentang perpisahan Osaka dan Bajin sekitar minggu lalu. Osaka menegaskan ura-ura akan punca perpisahan tersebut berkenaan salah faham berkenaan duit adalah tidak benar. Namun beliau tidak pula menjelaskan akan punca sebenar sebaliknya memberi bayangan bahawa beliau lebih memilih kebahagiaan daripada kejayaan yang tidak menggembirakan.

Osaka dengan ringkas merumuskan beliau tidak mahu perpisahan ini menjadi sesuatu yag keruh dengan bercakap buruk tentang perkara ini , beliau lebih senang untuk mendiamkan hal sebenar kerana menghargai jasa Bajin sebelum ini.

Buat masa sekarang Osaka masih dalam proses mencari jurulatih yang baru dan mengharapkan secepat mungkin sebelum ke kejohanan Terbuka Indian Wells. Beliau berpendapat sesuatu yang agak sukar jika turun ke acara tersebut tanpa jurulatih dan semestinya misi beliau untuk mengembalikan momentum beliau sebelum ini.