Rafael Nadal raja gelanggang tanah liat menjulang trofi Terbuka Perancis buat kali ke-10.

Edisi 2017 Nadal pemain 31 tahun dari Manacor, Sepanyol menundukkan juara 2015, Stan Wawrinka, 6-2, 6-3, 6-1.

Kehebatan Nadal dalam Grand Slam Perancis bermula tahun 2005 dan berterusan pada tahun 2006, 2007, 2008, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2017.

Bekas pemain nombor satu dunia dengan ketinggian 1.85 meter dan bertubuh sasa itu terkenal dengan kekuatan pukulan dan pergerakan luar biasa di gelanggang tanah liat.

Selain mempunyai stail tersendiri dengan merebahkan badan sebagai tanda meraikan setiap kejuaraan, Nadal juga mempunyai rutin di dalam gelanggang yang menarik perhatian ramai antaranya menempatkan botol air di posisi yang sama di sepanjang perlawanan dan berjalan di kawasan kotak empat segi semasa masuk gelanggang.

Itulah Rafael Nadal.

Lain daripada yang lain dan cukup istimewa.

Lebih manis lagi trofi kejuaraan buat kali ke 10 di Paris ini disampaikan oleh jurulatih, mentor dan pak cik Nadal, Toni Nadal, yang telah membimbingnya sejak berumur 3 tahun.

Nadal yang telah menjuarai kesemua Grand Slam dijangka akan terus mencatat sejarah dan tumpuan raja gelanggang tanah liat seterusnya adalah menakluki gelanggang rumput Terbuka Wimbledon pada 3 Julai nanti.