Paling mencuri tumpuan sudah pasti kepulangan bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar ke Terengganu selepas empat musim mengerah kudrat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pemain yang berusia 37 tahun ini lebih banyak beraksi di bahagian tengah serta pertahanan dalam dua musim terakhir bersama ATM dan bersedia, untuk beraksi di mana-mana posisi bersama Peteh musim ini.

"Kemungkinan besar ini musim terakhir saya sebagai pemain dan ia impian menjadi kenyataan buat saya menamatkan kerjaya bersama Terengganu".

"Saya bersedia mengerah segala kudrat bagi membantu kejayaan Terengganu musim ini sebelum bersara bagi menumpukan perhatian kepada perniagaan dan kerjaya sebagai jurulatih selepas ini," kata Hairuddin ketika ditemui penulis baru-baru ini.

Selain Hairuddin, nama besar lain yang pulang ke pasukan asal ialah bekas tonggak tengah Pahang, Azidan Sarudin dan bekas pertahanan Terengganu, Ahmad Azlan Zainal yang pulang ke Kuala Lumpur.

Azidan memulakan kerjaya bersama Kuala Lumpur pada 2006 sebelum ke Selangor pada 2011 dan ke Pahang pada 2013.

Turut pulang ke negeri asal ialah bekas tonggak benteng Pahang, Razman Roslan yang kembali ke Selangor selepas empat musim meraih pelbagai kejuaraan bersama Pahang.

Pemain kelahiran Kajang ini pernah secara peribadi mengakui kepada penulis, mahu kembali ke Selangor musim lalu tetapi terpaksa membatalkan hasratnya selepas Pahang enggan meleraikan ikatan bersamanya ketika itu.

Juara Piala AFC dan Liga Super musim lalu, Johor Darul Takzim (JDT) turut membawa pulang pemain sayap kelahiran Johor Bahru, Mohd Azinee Taib musim ini selepas pemain itu cemerlang bersama Pulau Pinang musim lalu.

Azinee adalah antara muka baru yang dipertaruhkan pengendali JDT, Mario Gomez untuk saingan musim ini dan pemain berusia 25 tahun itu tidak mengecewakan apabila beraksi cemerlang ketika latihan dan aksi persahabatan pra musim di Thailand baru-baru ini.

Kepulangan kesemua pemain-pemain ini ke pasukan asal masing-masing pasti memberi impak kepada saingan Liga Malaysia musim ini, sama ada di Liga Super mahupun Perdana.

Kesemua pemain ini sudah pasti pulang dengan lebih matang, selepas meraih kejayaan bersama pasukan lama selepas berhijrah dari negeri asal.

Ia sinonim buat mana-mana pemain bertaraf dunia sekalipun untuk kembali ke pasukan atau kelab asal yang membentuk kerjaya profesional mereka.

Kebiasaannya, kepulangan bekas pemain adalah didorong rasa cinta kepada pasukan asal dan bukannya habuan gaji lumayan.

Kredit Imej: Laman Facebook Terengganu FA, FA Selangor, Kuala Lumpur FA dan Johor Southern Tigers