Dalam dunia bola sepak serba pantas ini, bergelar pemain profesional bukan tugas mudah.

Kritikan yang hadir bagai hujan dan kecaman di media sosial sentiasa menjadi sesuatu yang sukar untuk ditangani mana-mana individu sekalipun.

Dalam erti kata lain, pemain di tahap tertinggi bukan sahaja perlu menyerap tekanan di atas padang malah di luar padang.

Terdapat sebilangan pemain yang sering menjadi sasaran kerana gagal tampil cemerlang seperti apa yang dicanang dalam setiap perlawanan dan mereka ini dijangka bakal bangkit untuk kembali berbisa dan menutup setiap mulut pengkritik musim ini.

Ousmane Dembele

Salah seorang pemain termahal yang menyertai Barcelona, Ousmane Dembele, kerap kali menampilkan bayangan kemampuan sebenar daripada apa yang telah diharapkan. Hanya kelipan aksi terbaik dipamerkan di Nou Camp dan sudah tiba masa buat pemain itu perlu membuktikan kebolehannya.



Jika tidak -- terpaksalah kelab sekali lagi berbelanja besar untuk mencari pengganti Neymar.

Dembele sentiasa dikritik atas disiplinnya dan pemain kebangsaan Perancis itu turut dikaitkan mahu meninggalkan kelab. Namun di sebalik saat sukar dihadapi Barcelona ketika ini, ia adalah waktu terbaik buat pemain berusia 23 tahun itu mempamerkan aksi terbaik.

Didorong dengan kehadiran pengurus baru, Ronald Koeman, yang merancang untuk menggunakan sistem 4-2-3-1 dan Dembele sudah pasti mampu mengisi kesebelasan utama pasukan. Ini mungkin akhirnya menjadi tahunnnya.

Paul Pogba

Walaupun Paul Pogba kadangkala bertaraf dunia, kita semua boleh bersetuju bahawa kemampuan semula jadi semestinya perlu dipamerkan dengan lebih kerap.

Pogba kelihatan seperti dilahirkan semula berikutan kedatangan Bruno Fernandes ke Manchester United dan kelihatan gembira apabila tanggungjawab yang perlu dipikulnya dibantu oleh bekas pemain Portugal itu.

Pogba baru sahaja bebas daripada Covid-19 dan mahu membuktikan kemampuannya sekaligus membantu Manchester United memberikan cabaran dalam kelompok utama Liga Inggeris.

Dia merupakan seorang yang mampu bertindak sebagai pemenang perlawanan pada hari terbaiknya dan sudah tiba masa dia menambah koleksi trofi yang pernah dimenangi sebelum ini.

Eden Hazard

Eden Hazard menyempurnakan perpindahan impian ke Real Madrid dari Chelsea musim lalu tetapi segalanya kekal seperti mimpi buat pemain kebangsaan Belgium itu.

Kurang beraksi berpunca daripada kecederaan dan masalah kecergasan menghalangnya untuk diturunkan.
Pelik apabila Hazard gagal menampilkan persembahan yang sama seperti beraksi untuk Chelsea. Tanpa diragui, dia merupakan salah seorang penyerang terbaik generasinya dan hanya masa yang akan menentukan sebelum dia kembali mempamerkan kemahirannya.

Gareth Bale

Gareth Bale lebih dilihat sebagai pemain golf berbanding pemain bola sepak pada hari-hari terakhirnya di Real Madrid.




Selepas diketepikan oleh pihak pengurusan, Bale dipaksa menyaksikan perlawanan di bangku simpanan dan dia sendiri langsung tidak berminat untuk menawan semula hati mereka.

Bagaimanapun, Tottenham Hotspur hadir dan menawarkan semula talian hayat buat Gareth Bale.

Kini sudah kembali di London Utara di mana dia bermula bergelar bintang dan sudah tidak sabar untuk kembali membuktikan semula kepada dunia bahawa dirinya masih berbisa.

Bale memiliki karier yang penuh dengan kejayaan bersama Real namun tidak mencapai ke tahap yang dijangkakan selepas sebelum ini dilihat sebagai pemain yang bakal menggantikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Kembali bersama Spurs dan bersama individu yang mampu menerimanya semula, sesuatu yang sudah lama dimahukan oleh pemain kebangsaan Wales itu. Sudah pasti itu yang bakal dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak.