Lewis Hamilton perlu menunggu lagi untuk memastikan gelaran dunia kelima miliknya setelah terpaksa memberi laluan kepada Kimi Raikkonen yang mengungguli perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS).

Hamilton yang mencatat kejuaraan empat kali berturut-turut sebelum ini di Itali, Singapura, Russia dan Jepun hanya berpuas hati di tangga ketiga dalam saingan Formula Satu (F1) di AS itu ekoran sedikit kesilapan dalam pengurusan masa.

Sementara itu, Kimi Raikkonen mengambil masa lebih dari lima tahun untuk mencatat kejuaraan ini.

Kelebihan buat Raikkonen dalam perlumbaan ini apabila menggunakan tayar yang lebih lembut bagi memastikan beliau dapat mendahului seawal perlumbaan meninggalkan Hamilton.

Biarpun Hamilton mempunyai peluang untuk mengungguli perlumbaan ini, namun nasib tidak menyebelahi pelumba Mercedes ini apabila terperangkap dengan masalah tayar.

Hamilton mempunyai tiga lagi perlumbaan iaitu di Mexico, Brazil, dan Abu Dhabi untuk mempertahankan gelaran dunianya musim lalu.

Setelah hanya berpuas hati di tempat ketiga di AS, Hamilton masih mengumpul mata keseluruhan tertinggi sebanyak 346 mata diikuti pencabar terdekat Sebastian Vettel yang menamatkan kedudukan di tempat keempat dan memungut mata keseluruhan 276.