Sudah lebih seminggu sejak kisah drama pemain perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, dan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menghiasi laporan berita Nadi Arena serta akhbar-akhbar sukan tempatan.

Chong Wei, yang sudah 18 tahun bersama BAM sememangnya berjasa dan banyak menyumbang kejayaan kepada kontinjen Malaysia menerusi tig pingat perak Sukan Olimpik serta naib juara Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali.

Namun kenyataan terbaru Chong Wei, yang menyatakan tiada 'pusingan U' buat dia untuk pulihkan hubungan dengan Frost menandakan BAM perlu membuat pilihan sama ada kekalkan Chong Wei ataupun Frost mungkin ditunjukkan jalan keluar?

Satu keputusan yang cukup berat perlu dilakukan BAM. Apa tidaknya! Mana boleh satu kapal dua nakhoda? Chong Wei yang juga dikenali sebagai raja kejohanan siri super harus saya akui banyak berjasa kepada pembangunan badminton Malaysia.

Frost juga tidak kurang hebatnya. Ini kali kedua beliau kembali menabur bakti buat badminton Malaysia dan sudah nampak tuaiannya dalam bentuk pelapis negara yang meningkat naik.

Sudah pasti 'KPI' terbaik Frost adalah tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016 dan rentetan kejayaan pemain pelapis dalam saingan bertaraf GP Emas dan Cabaran Antarabangsa juga perlu dijadikan ukuran.

Ia akan dilihat sebagai satu kerugian buat barisan pelapis negara jika Frost 'dipaksa' keluar menerusi drama terbaru ini kerana ia tidak menguntungkan BAM jika perancangan dan program yang sudah disusun Frost tidak dapat dilaksanakan.

Sebaliknya, jika BAM tidak menemui jalan penyelesaian ianya akan memudaratkan imej BAM kerana ramai lagi pemain selain Chong Wei bernaung di bawah BAM yang juga perlu diberi tumpuan dan perhatian.

Ia benar, bukan hanya Chong Wei seorang sahaja yang bernaung di bawah BAM dan oleh itu mungkin cara terbaik adalah menuntut Chong Wei beraksi secara profesional?

Hakikatnya, kita sedar dengan faktor usia Chong Wei mungkin ini tahun terakhirnya beraksi secara kompetitif sebelum bersara dan mungkin jika Chong Wei mengambil langkah untuk menjadi profesional, barisan kejurulatihan BAM mungkin boleh fokus untuk membentuk barisan pemain baru negara pasca era Chong Wei.

Jika Chong Wei beraksi secara profesional, beliau mampu mendapatkan penajaan berdasarkan nilai komersial dirinya serta disiplin tinggi yang dimilikinya, dia masih mampu beraksi di tahap tertinggi dan juga tidak mustahil walaupun bergelar profesional, Chong Wei juga masih dapat 'sparring' bersama pemain muda BAM setiap minggu.

Mungkin ini jalan penyelesaian terbaik. Mungkin kerjaya profesional dapat membantu Chong Wei dan mungkin ini masa paling sesuai Chong Wei keluar BAM dan mungkin ini nafas baru diperlukan BAM untuk membentuk legasi baru selepas Chong Wei.