Di samping Neymar, pasukan kelab bola sepak Perancis Paris Saint Germain(PSG) mempunyai satu lagi ayam tambatan yang semakin garang saban hari dalam menunjukkan kehebatannya di atas padang.

Kylian Mbappe yang merupakan pemain kedua termahal dunia dimiliki PSG sepenuhnya pada musim lalu setelah berhijrah dari Monaco. Oleh kerana usianya yang muda, ramai meragukan nilai pembelian mampu dibuktikan dengan aksinya bersama pasukan.

Namun telahan berikut semakin hanyut dek angin apabila beliau sememangnya seorang pemain muda yang cukup berbakat. Awal pagi tadi Mbappe telah mencetak gol peribadinya ke 19 dari 18 penampilan musim ini dalam saingan liga Ligue 1 yang juga jaringan kemenangan 1-0 PSG menundukkan Saint-Etienne.

Kemenangan tersebut telah menjarakkan PSG dan penghuni di tangga kedua, Lille dengan beza 12 mata di mana Lille berkelebihan 2 perlawanan berbanding PSG. Ini memberi bayangan bahawa PSG bakal mengenggam gelaran liga kedua berturut-turut.

Secara total, Mbappe telahpun mengumpul 45 gol sejak menyertai PSG, dan jaringan ke 19 beliau musim ini adalah kali pertama berlaku di Perancis sejak kali terakhir 45 tahun lalu.

Sebelum ini, Mbappe pernah ‘dihukum’oleh pengendali PSG Thomas Tuchel yang meletakkan beliau di bangku simpanan akibat kelewatan bagi sesi perbincangan pasukan sebelum perlawanan. Namun perkara tersebut diambil positif oleh Mbappe dan akur akan kelewatan beliau dan terus berjanji memberikan yang terbaik.

Selain dari aksi cemerlang di liga, Mbappe juga menjadi pemain ketiga menjaringkan gol di Liga Juara-juara Eropah di tempat lawan dalam tiga penampilan terawal di England, selepas Luis Enrique dan Edin Dzeko.

Beliau juga merupakan pemain muda Perancis menjaringkan gol di Piala Dunia dan menyamai rekod Pele yang menjadi pemain remaja menyumbang gol di aksi final Piala Dunia.