Penularan pandemik Covid-19 menjejaskan kalendar sukan seluruh dunia.

Daripada Sukan Olimpik Tokyo hingga kejohanan tempatan dan tidak terkecuali, membabitkan peringkat akar umbi.

Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2020 membabitkan 24 jenis sukan dibahagi kepada dua fasa.

Fasa pertama Mac-April dan bakinya akan diadakan pada Ogos.

Apa yang berlaku, hanya kejohanan merentas desa pada 7 Mac lalu sempat diadakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terpaksa menunda baki 12 jenis sukan fasa pertama dan tiada pelan B mengenai tarikh ganti buat masa ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan rakyat mengelak menyertai perhimpunan untuk tempoh 6-12 bulan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Ini bermakna, peluang untuk fasa pertama MSSM dianjurkan ialah September atau Oktober depan.

Soalnya adakah cukup masa untuk berbuat demikian kerana kita sedia maklum, hujung tahun ialah masa yang genting untuk pelajar menghadapi peperiksaan.

Walaupun hanya tinggal peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (suku pertama 2021) namun bagaimana dengan ibu bapa. Adakah mereka beri kebenaran?

Berdasarkan pengalaman, kebanyakan ibu bapa akan beri tempoh tertentu dalam tempoh setahun untuk anak mereka aktif dalam sukan sebelum fokus terhadap pelajaran.

Cuma saya yakin, buat masa sekarang tiada yang lebih penting berbanding keselamatan pelajar.

Apa jua keputusan KPM cukup penting.

Sama ada untuk masa depan pelajar atau hala tuju sukan negara.