Sepanjang 18 minggu Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2019 berlangsung, hari ini ia menutup tirainya.

Sebanyak 16 perlawanan dilalui oleh setiap pasukan daripada sembilan pasukan yang menyertai saingan edisi pertama liga futsal professional yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu.

Ini satu lagi kejohanan yang berjaya dianjurkan oleh FAM kerana dengan adanya MPFL, ia akan meningkatkan kualiti pemain futsal negara seta membuka peluang kepada pemain untuk terus meningkatkan prestasi diri selain membuka peluang kepada pencinta sukan itu membina kerjaya mereka sebagai pemain futsal professional.

Secara keseluruhan, penulis melihat ia satu kejohanan yang perlu dibanggakan kerana rata-rata pasukan yang menyertai MPFL mempunyai kualitinya walaupun ada beberapa ahli gabungan tidak menyertainya.
Dengan kehadiran pasukan bersatus kelab seperti KL City, ia mungkin dapat menarik minat kelab lain ingin menyertai MPFL pada musim akan datang.

Kerjasama di antara FAM dan Astro Arena juga begitu baik, di mana banyak perlawanan disiarkan secara langsung, diikuti program analisa Ole MPFL pada setiap minggu. Ini akan meningkatkan lagi nilai komersial MPFL selain mampu menarik penaja pada masa hadapan untuk sama-sama memeriahkan MPFL.

Sekalung tahniah penulis ucapkan kepada FAM kerana berjaya memajukan lagi satu cabang sukan bola sepak kerana ia menepati apa yang dinyatakan dalam perancangan hala tuju bola sepak negara oleh FAM (F:30), begitu juga kepada Selangor yang telah menjadi juara edisi pertama MPFL.

Kredit foto: FAM