Dua tahun lalu ketika acara futsal dipertandingkan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, sambutannya cukup luar biasa!.

Ingat lagi saya masa itu, kecoh peminat hendak mendapatkan tiket perlawanan untuk beberapa aksi penting membabitkan skuad futsal negara terutama perlawanan akhir menentang Thailand.

Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam ketika itu 'full house' dengan kehadiran penyokong yang memberi sokongan padu kepada anak buah Chiew Chun Yong.

Saya boleh katakan ia bagai satu fenomena dan situasi ini sebenarnya menunjukkan sukan futsal di negara ini mempunyai ramai pengikut yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM mengambil inisiatif menganjurkan Liga Profesional Kebangsaan yang dinamakan Liga Perdana Futsal Malaysia MPFL 2019.

Uniknya kejohanan kali ini berbanding kejohanan terdahulu, ia diadakan dengan format 'home away' selain adanya 'live streaming'.

Aksi pertama sudah pun berlangsung pada Sabtu menyaksikan Kedah dan Terengganu terikat 2-2 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar dan baki tiga perlawanan lagi akan berlangsung pada Ahad.

Perlawanan tumpuan akan berlangsung sebelah malam membabitkan pertemuan Selangor dan Perak tatkala KL City akan bertemu Pulau Pinang dan Kuala Lumpur berdepan Perak pada sebelah petang.

Jika mengambil kira kehadiran penyokong ketika temasya Sukan Sea 2017 dan permintaan tinggi peminat agar saingan MPFL diadakan siaran langsung di kaca televisyen, kemungkinan besar sambutannya hebat.

Dan jika itu berlaku, saya sendiri percaya, saingan MPFL yang buat julung kali diadakan ini pasti akan mencetuskan fenomena dalam sukan tanahair.