Pastinya girang hati peminat Manchester United setelah meraih kemenangan 3-1 ke atas Tottenham Hotspur kelmarin, sekali gus membalas dendam sewaktu dibelasah pasukan yang sama dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum ini.

Dengan kemenangan tersebut, United terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga, tujuh mata di hadapan Leicester City yang menduduki tangga ketiga.

Sebaliknya, buat Tottenham, kekalahan kepada United kini membuatkan masa hadapan ketua jurulatih, ‘Si Istimewa’ Jose Mourinho kelihatan suram sekali.

Mourinho dikritik dengan pedas oleh kolumnis akhbar The Daily Mail, Chris Sutton, dengan bekas pemain profesional tersebut dipetik sebagai berkata: “Hilang sudah Mourinho yang lucu, berkarisma dan pintar sewaktu ketibaannya ke Liga Perdana Inggeris pada tahun 2004.

“Apa yang tinggal hanyalah seorang lelaki yang kecewa, beremosi, menjengkelkan dan sekadar mampu mengimbau kegemilangan masa lampau.”

Dalam temu bual pasca perlawanan, pengurus United, Ole Gunnar Solksjaer, meluahkan kekesalannya terhadap penyerang Tottenham, Son-Heung Min yang didakwa menunjukkan lakonan melampau sewaktu berguling-guling menahan sakit akibat ditampar tanpa sengaja oleh Scott McTominay pada separuh masa pertama, sehinggakan pengadil terpaksa membatalkan gol yang dijaringkan oleh Edinson Cavani.



“Kalau saya lihat anak saya berlakon sebegitu, terbaring selama 3 minit akibat kekasaran kecil sehinggakan harus dipapah bangun oleh 10 orang rakan sepasukan, saya tak akan beri dia makan!” kata Solksjaer.

Kenyataan Solksjaer dibalas dengan tajam oleh Mourinho yang pantas mempertahankan pemainnya.

“Sonny (Heung Min) seharusnya bersyukur kerana ‘bapa’ dia adalah seseorang yang lebih baik daripada Solksjaer.

“Seorang bapa yang baik akan tetap memberikan makanan kepada anaknya, tidak kira apa yang mereka lakukan.

“Seorang bapa yang baik akan melakukan apa sahaja demi memastikan perut anaknya kenyang, biarpun jika dia terpaksa mencuri sekalipun!”

Biarpun kenyataan ini penuh kontroversi, ia tidaklah menghairankan kerana umum mengetahui bahawa salah satu sifat istimewa Mourinho adalah kesanggupannya mempertahankan pemainnya, tidak kira dalam apa jua keadaan.

Namun, kesetiaan terhadap pemain semata-mata tidak akan mencukupi untuk menjamin masa depan seorang jurulatih, apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana pasukan kendalian Mourinho mencatatkan kekalahan ke-10 dalam liga buat pertama kali dalam sejarah kerjayanya.

Menurut laman sesawang football.london, Mourinho kini merupakan jurulatih pilihan utama yang akan dipecat pada hujung musim ini dan Julian Nagelsmann yang merupakan ketua jurulatih pasukan RB Leipzig disebut-sebut bakal menjadi penggantinya.



Menariknya, bekas legenda Manchester United, Roy Keane telah tampil untuk mempertahankan jurulatih tersebut.

Dalam sesi temu bual bersama Sky Sports, Keane dipetik sebagai berkata: “Saya pasti tidak akan memecat Mourinho kerana kalau kita lihat daripada kelayakan dan pencapaiannya, dia berhak untuk kekal lebih lama dan diberikan lebih banyak peluang.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir, mungkin dia ada masalah dengan pihak lembaga Tottenham atau sebagainya, tetapi jika dilihat dari sudut bola sepak semata-mata, saya pasti akan memberikan dia lebih banyak masa untuk membuktikan dia boleh memimpin pasukan ke arah kejayaan.

“Saya sendiri pernah menjadi seorang ketua jurulatih, jadi saya tahu kadangkala kejayaan memerlukan masa yang lebih lama untuk dikecapi.”

Spurs kini mempunyai masa lima hari untuk pulih daripada kekecewaan ini sebelum menghadapi Everton dalam liga dan tarikh untuk mereka menghadapi Manchester City dalam Piala Carabao, satu-satunya peluang untuk meraih trofi musim ini, sudah tidak jauh lagi.