Kekalahan kepada West Ham United (3-1) terus memberi tekanan kepada pengurus pasukan Manchester United, Jose Mourinho.

Ini bukan mudah untuk Mourinho mengembalikan pasukannya berada di landasan yang baik, apatah lagi kemelut bersama Paul Pogba masih lagi berterusan.

Jaringan awal West Ham United pada minit kelima daripada Felipe Anderson, yang menerima umpanan daripada Pablo Zabaleta dari sebelah kiri pintu gol Manchester United, memberi tekanan awal kepada The Red Devils.

Dengan membariskan pemain-pemain midfield terbaik seperti Nemanja Matic, Marouane Fellaini dan Scott McTominay, pelawat masih lagi tidak mampu menguasai permainan.

Sebaliknya, anak-anak buah Manuel Pellegrini itu yang menunjukan persembahan konsisten.

Walaupun Manchester United cuba bangkit, namun mereka masih tidak mampu menembusi pertahanan West Ham United yang dipimpin Zabaleta.

Sementara Manchester United cuba memburu gol penyamaan, sebaliknya mereka dikejutkan jaringan kedua West Ham United pada minit ke-43 oleh gol sendiri pemain pertahanan, Victor Lindelof.

Bermula separuh masa kedua, anak-anak buah Mourinho terus memberi tekanan untuk mencari gol bagi mendekatkan jurang jaringan, namun masih gagal sehinggalah Marcus Rashford dimasukan dan akhirnya dia berjaya melakukan jaringan (2-1).

Namun, ia tidak memberi impak yang besar kepada Manchester United kerana West Ham United sedikit tidak tergugat, sebaliknya terus memberi saingan dan akhirnya Marko Aranautovic berjaya melakukan jaringan ketiga pada minit ke-74.

Jaringan itu terus menghantui Manchester United sehingga wisel penamat dan kekalahan ini sudah pasti akan memberi tekanan kepada Mourinho untuk memulihkan kembali keharmonian dalam pasukan, terutama di antara dia dan Pogba.