"Tolong jangan panggil saya angkuh tapi hakikatnya saya adalah pemenang kejuaraan Eropah dan saya berpendapat diri saya adalah seorang yang istimewa."

Itu kata-kata keramat Jose Mourinho sewaktu dilantik sebagai pengurus Chelsea, 16 tahun lalu. Kerana kata-kata keramat itu jugalah dia digelar sebagai 'Yang Istimewa' oleh pihak media sehinggalah ke hari ini.

Ternyata 'keistimewaannya' itu bukan sekadar kata-kata kosong kerana tidak ada ramai pengurus lain yang mampu mengatakan bahawa mereka pernah memenangi sejumlah lapan kejuaraan liga di empat negara berbeza, serta menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebanyak dua kali dengan dua kelab berlainan.

Namun, di saat ini, 16 tahun kemudian, masihkah Mourinho mampu mengekalkan bisa dan taringnya?



Kelab kendaliannya yang terkini, Tottenham Hotspur, sekadar menduduki tangga keenam musim lalu, ketinggalan 40 mata daripada juara liga, Liverpool dan sekadar mengatasi pesaing terdekat, Wolverhampton Wanderers, dengan perbezaan kiraan gol semata-mata.

Buat pertama kali dalam sejarah kerjayanya, pasukan kendalian Mourinho tewas dalam perlawanan hari pembukaan dan sekadar mampu mempamerkan aksi longlai dan tidak memberangsangkan.

Biarpun musim ini baru sahaja bermula dan perjalanan setiap pasukan masih panjang, laman sesawang Oddschecker meletakkan Mourinho sebagai pengurus yang mempunyai kebarangkalian keempat tertinggi untuk dipecat musim ini.

Jika perkara ini benar-benar berlaku, ia bakal menjadi kali pertama Mourinho tersingkir dari kelab kendaliannya tanpa memenangi sebarang kejuaraan dan 'keistimewaannya' itu mungkin sekadar menjadi sejarah silam.




Namun, harus diingat Mourinho adalah tulang belakang yang mengubah nasib Spurs daripada pasukan yang sekadar berada di tangga ke-14 di saat dia menggalas jawatan pengurus, sehinggalah berjaya menduduki tangga keenam pada penghujung musim dan melayakkan diri ke Liga Europa pada akhirnya.

Mourinho sendiri masih tetap lantang bersuara tanpa sedikit pun rasa gentar, tidak kira terhadap para pemainnya mahupun terhadap pihak media.

Sepanjang minggu lalu, aksi mengecewakan daripada pemainnya dalam perlawanan pembukaan telah dikritik secara terbuka dengan Mourinho melabelkan mereka sebagai 'malas'.

Ini disusuli beberapa hari kemudian dengan pengakuan penuh kontroversi bahawa dia pernah cuba untuk mendapatkan khidmat Gareth Bale sejak dari zaman dia mengendalikan Real Madrid lagi.

Ternyata walaupun usia Mourinho semakin meningkat – kini 57 tahun -- kelantangannya tidak sedikit pun berkurangan, malah semakin pedas!

Ura-ura mengatakan bahawa Gareth Bale yang pernah menjadi adiwira buat Spurs bakal kembali ke pangkuan kelab tersebut dan kehadirannya pasti bakal menghembuskan nafas baru buat Spurs dalam perjuangan mereka musim ini.




Sewaktu zaman kegemilangan Mourinho bersama Chelsea, pemain legenda kelab itu, Frank Lampard, pernah menyebut, "Mourinho datang kepada saya selepas tamat sesi latihan dan dia mengatakan yang saya adalah pemain bola sepak terbaik di dunia. Sejak dari itu, keyakinan diri saya memuncak."

Ketika Mourinho meninggalkan Inter Milan untuk berpindah ke Real Madrid, kapten Inter pada waktu itu, Marco Materazzi, menangis teresak-esak kerana bakal kehilangan pengurus yang dianggapnya sebagai terbaik dalam sejarah.

Ternyata keistimewaan Mourinho bukan sekadar daripada segi keangkuhannya semata-mata, dia adalah seseorang yang mampu memaksimumkan potensi para pemainnya dan meraih kepercayaan penuh mereka.

Mampukah Mourinho mencatatkan satu lagi episod penuh gemilang dalam Liga Perdana Inggeris
ataupun adakah musim ini bakal menjadi satu sejarah hitam buat ‘Yang Istimewa’?

Sama-sama kita nantikan.