Beberapa hari sahaja lagi sebelum saingan Liga Perdana Inggeris membuka tirai, The Red Devils dilihat sedang rancak melakukan persiapan pramusim walaupu tanpa beberapa bintang utama yang sedang bercuti.

Melihat kepada senarai pemain, Dayang percaya skuad kali ini akan tampil cemerlang walaupun tiada pembelian nama-nama besar. Namun, sedikit kegusaran yang bermain di fikiran Dayang adalah posisi pertahanan yang sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah dalam perlawanan penting.

Di posisi penjaga gol, keputusan David De Gea menyambung kontrak menyaksikan kedudukan beliau selaku penjaga gol nombor satu di Old Trafford tidak akan terjejas selepas mempamerkan prestasi baik, musim lalu. Tambahan pula, di belakangnya terdapat tiga lagi penjaga gol iaitu Sergio Romero, Joel Pereira dan Lee Grant.

Kegusaran Dayang adalah di barisan pemain pertahanan. Pertama, Manchester United dilihat masih memerlukan khidmat Antonio Valencia dan Ashley Young walaupun mereka berdua sudah sedikit berusia. Ketahanan dan keupayaan mereka untuk tampil konsisten setiap perlawanan boleh dipertikaikan untuk saingan Liga Perdana Inggeris yang sememangnya kompetitif.

Pengganti mereka di posisi kanan dan kiri seperti Marcus Rojo, Luke Shaw, Axel Tuanzebe mahupun Timothy Fosu-Mensah pula masih sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama. Diogo Dalot masih belum diuji sepenuhya dan Matteo Darmian pula sudah diketahui ramai sedang dalam proses perpindahan ke Juventus.

Kedua, United masih belum menemui pengganti sebenar bagi duo lagenda Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Chris Smalling, Phil Jones, Eric Bailly dan Victor Lindelof sering bertukar-tukar gandingan sesama mereka tetapi masih gagal menghasilkan benteng yang benar-benar utuh.

Apakah akan ada pembelian baru untuk pemain pertahanan? Jika ya, siapa pilihan anda? Setuju atau tidak andai Dayang katakan United memerlukan seorang pertahanan matang yang bertenaga, tetapi dalam masa sama mempunyai sifat kepimpinan di atas padang.

Pada pandangan peribadi Dayang, Harry Maguire mungkin salah satu pilihan ideal tetapi itu hanyalah pilihan daripada seorang peminat bola sepak. Apa pula pandangan anda?