Siapa tidak kenal dengan Jose Mourinho. Individu yang cukup berpengaruh dalam dunia bola sepak sehingga digelar “The Special One”. Mourinho bukanlah individu baru dalam bola sepak, beliau pernah menjadi tenaga kejurulatihan di Barcelona namun namanya tiba-tiba menjadi sebutan ramai selepas kejayaan membawa pasukan Porto muncul juara Liga Juara-Juara Eropah sekitar 2004.

Selepas dari itu, kejayaan demi kejayaan berjaya diraih bersama pasukan-pasukan besar seperti Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan.

Tapi itu semua cerita dulu. Kini segalanya berubah 360 darjah. Bermula dari kegagalan di Stamford Bridge hingga ke Old Trafford, Mourinho kini hanyalah berstatus pengulas bola sepak bebas di televisyen. Bukan tiada tawaran yang diterima, namun individu ini bersikap sedikit memilih untuk mengendalikan sesebuah pasukan.

Individu ini tidak berselindung apabila ditanya pasukan mana yang cuba mendapatkan khidmatnya. Pasukan seperti Monaco, AC Milan, Schalke 04 dan Lille adalah antara senarai yang ditolak. Bahkan Mourinho tidak menafikan pasukan-pasukan besar seperti Tottenham Hotspur dan Real Madrid juga ada memberikan tawaran sebelum Spurs kekal dengan Mouricio Pochettino dan Los Blancos melantik semula ZInedine Zidane.

Pendapat peribadi penulis, antara punca utama Mourinho begitu memilih dalam mengendalikan pasukan adalah kerana bola sepak zaman kini sudah berubah. Pemain tidak lagi bermain seperti dulu, cara pihak pengurusan berurusan juga berubah, bahkan tidak keterlaluan andai dikatakan, kewangan kelab memainkan peranan yang paling penting.

Dayang percaya Mourinho mahukan pasukan yang memiliki keupayaan dari segi kewangan agar mampu membeli pemain berkualiti. Lihat sahaja tangga harga seseorang pemain masa kini, pemain belasan tahun juga sudah ratusan juta harganya.

Terbaru, kedudukan ZInedine Zidane di Real Madrid dilihat berada dalam situasi bahaya selepas prestasi terumbang-ambing skuad elit itu di saingan liga dan kejohanan eropah. Ianya sekaligus mengaitkan semula Mourinho dengan Real Madrid.

Dayang percaya andai tawaran diberikan, Mourinho tidak akan teragak-agak untuk menerima kerana Real Madrid adalah pasukan yang paling tepat dengan kriteria beliau. Sebuah pasukan besar dengan kemampuan kewangan yang amat kukuh.

Adakah peminat sukan bola sepak akan melihat kembalinya individu yang berasal dari Portugal ini di tepi padang? Atau mungkin beliau akan terus kekal disolek dan sekadar memanaskan kerusi di studio untuk memberikan ulasan di kaca TV?