Bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin, berharap agar Hafizh Syahrin Abdullah dapat kekal berlumba untuk tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun ini kerana berasakan pelumba Moto-2 negara itu merupakan satu-satunya taruhan terbaik negara di pentas tertinggi perlumbaan dua roda dunia.

Hafizh Syahrin sudah memberikan bayangan untuk mengucapkan selamat tinggal buat kejuaraan dunia MotoGP.

Dia dilaporkan berdepan masalah mencari penaja bagi musim depan, sekali gus berkemungkinan terpaksa meninggalkan saingan itu, yang mula disertainya secara sepenuh masa sejak 2014.

Lebih merumitkan keadaan itu, dia hanya berhasil mengumpulkan lapan mata sepanjang 15 perlumbaan mewakili NTS RW Racing GP untuk kini menduduki tangga ke-28 keseluruhan.

Keadaan itu jelas menjadi punca Hafizh Syahrin perlu mengucapkan selamat tinggal kepada arena Moto2 tetapi Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi, berharap bintang negara itu akan kekal berlumba dalam kejohanan lain demi membawa nama Malaysia.

Dia berkata dalam satu temu bual bersama Nadi Arena: "Hafizh masih lagi pelumba terbaik yang kita ada di Malaysia, saya tidak boleh menafikan perkara itu.

"Saya harap dia masih boleh kekal berlumba dalam kejohanan bebeza agar dia dapat terus membawa nama negara.

"Kerana saya rasa kita hanya akan ada pelumba sepertinya selepas dua atau tiga tahun ke depan.

"Sebelum tempoh itu, kita memerlukan seseorang seperti Hafizh," katanya.

A post shared by Hafizh Syahrin Abdullah (@hafizh_syahrin)