Daripada sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecil isu diiutarakan seperti ciri-ciri jurulatih pilihan kepada pihak media namun sebenarnya belum terjadi apa-apa..bak orang kata, cakap banyak tetapi kerja tidak berjalan.

Pergerakan proses pemilihan itu dilihat terlalu perlahan dan bayangkan sehingga kini, senarai pendek calon jurulatih skuad kebangsaan difahamkan masih belum ada manakala tiga calon akhir jurulatih bawah 23 tahun baru sahaja ditemuduga pada 1 Disember.

Jika situasi ini berterusan, jangan terkejut calon jurulatih skuad kebangsaan berkemungkinan hanya akan diketahui pada tahun hadapan atau selepas pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.

Pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Khas FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad selepas majlis perasmian Bengkel Halatuju Bola Sepak Malaysia anjuran Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) hanya mengundang gelak ketawa pengamal media.

Pelbagai alasan remeh-temeh diberikan seperti enam panel yang dilantik susah mahu duduk semeja kerana kekangan kerja dan mahu bercuti yang menyebabkan proses pemilihan masih tergantung.

Adakah mereka benar-benar serius kerana soal pelantikan jurulatih tidak boleh dilengahkan jika mahu ada satu perancangan jangka panjang memperbaiki kembali mutu bola sepak negara.

Selain itu, panel pemilihan masih menapis kelayakan calon-calon walaupun tarikh tutup menghantar permohonan sudah lama ditutup iaitu hampir tempoh sebulan.

Semakin dimakan waktu, semakin itulah kredibiliti FAM bakal dikritik oleh pemerhati dan peminat kerana terlalu mengambil masa lama untuk melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Adakah daripada senarai 30 calon yang memohon jawatan ketua jurulatih, tiada siapa yang layak atau terlalu ramai yang berkualiti sehingga Jawatankuasa Khas rambang mata membuat pemilihan?

Saya fikir FAM perlu buat keputusan sebelum sepak mula Liga Malaysia 2016 yang dijadual Februari nanti agar memudahkan jurulatih yang baru dilantik itu dapat membuat penilaian prestasi pemain secara menyeluruh.