Seawal jam 7:17 pagi, 24 Oktober 2019, seluruh peminat sukan tanahair terutamanya pengikut sepak takraw digemparkan dengan berita mengejutkan melibatkan skuad sepak takraw Penang Black Panthers.

Dalam entri di laman facebook pengurus pasukan PBP, Abdul Hafiz Abdul Majid pada awal pagi hari ini memaklumkan tentang pengunduran beberapa watak penting pasukan daripada saingan kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2019.

Bukan setakat pengurusan malah jurulatih dan juga beberapa pemain turut bakal meninggalkan liga STL pada ketika juara bertahan ini sedang meniti kemuncak prestasi.

Untuk rekod, Penang Black Panthers sedang berada di puncak saingan selepas 13 perlawanan walau dicabar hebat Perak Bison.

Keputusan ini ternyata mencetus misteri dengan Hafiz hanya memaklumkan tentang pengunduran Penang Black Panthers disebabkan ' faktor' tertentu.

Persoalannya, apakah yang dimaksudkan 'faktor' tertentu? Pelbagai andaian dibuat penyokong-penyokong PBP di laman sosial termasuk menyalahkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Belum pun reda kisah dua tekong negara, Syahir Rosdi dan juga Zulkifli Abd Razak, yang sedang berdepan hukuman penggantungan yang panjang, isu Penang Black Panthers tersebut pula menjadi nasi tambah kepada hidangan basi sukan sepak takraw.

Siapa yang sudi menjamah? Sudah pasti kecewa penyokong PBP ibarat nyawa ditarik keluar. Ada yang sudahpun membeli tiket perlawanan akan datang di Ipoh, Perak yang akan bermula esok.

Kesannya pasti akan melarat kepada semua pasukan bertanding yang turut menuntut penjelasan PSM yang mengendalikan STL 2019. Lebih parah andai ada mogok dalam kalangan pasukan disebabkan mungkin pemotongan mata selepas ketiadaan Penang Black Panthers!

Siapa yang akan menanggung akibatnya? Panjang cerita...

Apapun, kita nantikan apakah kesudahan misteri Penang Black Panthers ini.