Sejak menjuarai Bundesliga pada tahun 2002, Borussia Dortmund (BVB) menghadapi kemarau kejuaraan liga selama lapan tahun, sehinggalah Jurgen Klopp akhirnya berjaya mengendalikan pasukan menamatkan penantian itu dalam saingan musim 2010/11.

Ternyata kemasukan pemain seperti Lukasz Piszczek, Robert Lewandowski serta Shinji Kagawa berjaya menghadirkan sinar baru di seluruh Signal Iduna Park.

Bagaimanapun, di sebalik kehebatan Klopp yang terserlah menafikan usaha Bayern Munich untuk meneruskan status selaku juara bertahan sebelum itu, tiada siapa yang menyedari kelibat seorang individu yang memainkan peranan besar bersama Dortmund, iaitu Sven Mislintat.

Mislintat ditawarkan jawatan selaku pencari bakat di Dortmund oleh pengarah kelab, Michael Zorc, pada tahun 2008 dan sejak itu, dia terus membuktikan kewibawaannya dengan membawa masuk Mats Hummels, Lewandowski, Pierre-Emerick Aubameyang serta Kagawa.



Lebih hebat, dia berjaya mendapatkan khidmat Lewandowski dari Lech Poznan dengan perpindahan bernilai EUR4.5 juta (RM22.5 juta) sahaja dan ia jelas satu pembelian paling berbaloi apabila penyerang Poland itu berjaya merakamkan 103 gol sebelum berhijrah ke Munich.

Kehebatan Mislintat dalam "menilik" hala tuju seseorang pemain terus dibuktikan pada awal musim lalu apabila membawa masuk bintang muda Perancis, Ousmane Dembele, dengan hanya EUR15 juta (RM75 juta), sehingga memberikan keuntungan besar buat BVB selepas kelab bersetuju menjualnya ke Barcelona dengan nilai EUR105 juta (RM525 juta) pada awal musim ini.

Kebijaksanaannya telah berjaya menarik minat pengarah Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, untuk membawanya ke Allianz Arena menggantikan pengarah teknikal pasukan yang berpindah ke VFB Stuttgart, Michael Reschke, sekaligus mencetuskan kebimbangan buat kem Dortmund.

Masa depan Mislintat terus menjadi persoalan selepas berbalah dengan pengendali pasukan sebelum ini, Thomas Tuchel, akibat daripada kegagalan Dortmund meyakinkan FC Porto untuk mencapai persetujuan mendapatkan pemain tengah, Oliver Torres, sehingga menyebabkan Tuchel menggantung Mislintat dari kem latihan pasukan.



Zorc melihat perkara tersebut sebagai satu permulaan masalah besar buat Dortmund dan selepas menyaksikan BVB sekadar berada di tangga ketiga liga musim lalu, akhirnya Die Borussen dan Tuchel bersetuju untuk berpisah.

Sebaliknya, Mislintat terus mengemudi skuad pencarian bakat buat Dortmund walaupun Salihamidzic secara terbuka menyatakan minatnya terhadap pencari bakat dari Jerman itu.

Zorc menegaskan Mislintat akan kekal di Signal Iduna Park, meneruskan legasi pencarian bakat baru buat Dortmund dan tidak sesekali meninggalkan pasukan buat masa ini.

Borussia Dortmund mungkin telah kehilangan aset besar seperti Lewandowski, Henrikh Mkhitaryan, Mario Gotze dan Mats Hummels, namun kesetiaan Mislintat ternyata lebih bernilai buat BVB dan pastinya khidmatnya tidak akan dilepaskan dengan mudah.



Jika pemain-pemain itu adalah anggota badan Dortmund, Mislintat adalah jantung Die Borussen.