Lapan tahun lalu, skuad bola sepak Malaysia turun ke pentas Sukan SEA 2009 tanpa sebarang nama yang digeruni dalam Liga Malaysia.

Pemain-pemain seperti Mohamad Muslim Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha serta Mahali Jasuli telah disenaraikan oleh pengendali waktu itu, K. Rajagobal, walaupun bagi peminat bola sepak tanah air, nama mereka sangat baru dan asing.

Percaturan menggabungkan muka baru dan lama daripada skuad Sukan SEA 2007 seperti Zaquan Adha Abdul Razak dan Safiq Rahim tampak satu tindakan yang berani demi mencapai sebuah kejayaan.

Hasilnya, selepas sekian lama, Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas buat pertama kali dalam acara bola sepak dari Laos selepas menewaskan Vietnam 1-0 dalam final.

Dua tahun kemudian, Datuk Ong Kim Swee berjaya mengekalkan pingat emas buat Malaysia selepas menumbangkan cabaran Indonesia menerusi penentuan penalti meskipun terpaksa berhadapan dengan ribuan penyokong skuad Garuda selaku tuan rumah di Gelora Bung Karno.



Tiada siapa menyangka itu adalah detik terakhir skuad bola sepak negara meraih tempat pertama di pentas dwitahunan itu setelah percubaan dua edisi selepas itu menyaksikan Malaysia sekadar pulang berputih mata.

Kini enam tahun sudah berlalu dan Malaysia bakal berdepan ujian terhebat, iaitu merampas semula pingat emas yang terlepas, di hadapan penyokong sendiri.

Biarpun sebelum ini Kim Swee berdepan dengan masalah kecergasan pemain serta terpaksa berebut dengan beberapa pasukan negeri dan kelab, akhirnya segala halangan itu berjaya diatasi.

Jika dilihat dari sudut positif, skuad B-22 tahun kali ini memiliki potensi yang lebih besar kerana rata-rata pemain yang disenaraikan telah mempunyai pengalaman beraksi bersama pasukan utama dalam Liga Malaysia.

Matthew Davies (Pahang), Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), Adam Nor Azlin (Selangor) serta Adib Zainudin (Felcra FC) bukanlah nama asing dalam saingan Liga Super, Liga Perdana ataupun Piala Malaysia pada tahun ini.



Setiap nama itu merupakan tunjang utama pasukan masing-masing, sekaligus telah memberikan pendedahan yang lebih luas di peringkat senior.

Dalam Kumpulan A, Laos, Myanmar, Singapura serta Brunei bakal menjadi penghalang untuk merealisasikan impian besar rakyat Malaysia dan buat anak-anak buah Kim Swee, mulakanlah kebangkitan bola sepak Malaysia di pentas Sukan SEA 2017 dan jadikanlah Brunei sebagai mangsamu yang pertama pada malam ini.

Kami semua bersamamu!