Misi serampang dua mata. Itu gambaran paling tepat buat skuad Harimau Malaya untuk perlawanan kedua play-off kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Selain perlu mengesahkan kemaraan secara rasmi ke pusingan kedua kelayakan kejohanan, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu juga perlu meraih kemenangan untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Ia bagi membolehkan skuad kebangsaan berada dalam kedudukan lebih baik untuk undian pusingan kedua kelayakan membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Berdasarkan perkiraan tidak rasmi, skuad negara yang berada di ranking ke-168 dunia berjaya mendaki tujuh anak tangga hasil dua kemenangan iaitu ke atas Nepal dalam aksi persahabatan dan Timor Leste dalam aksi play-off pertama, tempoh hari.

Sememangnya, kemenangan seterusnya pasti dapat meningkatkan kedudukan ranking skuad negara sekali gus berpeluang berada dalam balang 4 daripada 5 balang keseluruhan dalam majlis undian itu nanti.

Kedudukan pasukan dalam setiap balang akan ditentukan mengikut ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum undian berlangsung 17 Julai ini di Kuala Lumpur di mana ia akan dikeluarkan pada minggu pertama bulan depan.

Apa pun, kemenangan 7-1 ke atas Timor Leste dalam aksi pertama play-off menyaksikan skuad negara tampak tidak lagi dibelenggu keresahan untuk mengharungi perlawanan timbal balik dan diharapkan skuad negara mampu mengulangi aksi cemerlang dalam pertemuan kedua nanti.